SEPANG: Pihak kerajaan negeri Selangor masih menunggu laporan teknikal berhubung insiden membabitkan permainan roller coaster di Taman Tema Sunway Lagoon pada Sabtu dan mengakibatkan 10 pengunjung cedera.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sedang menunggu laporan teknikal daripada pihak polis selain akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden terbabit.
“Saya sedang menunggu laporan teknikal daripada pihak polis yang membuat siasatan menyeluruh terhadap insiden terbabit kerana polis telah mengambil alih tugas tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Dewan Komuniti Putra Perdana dekat sikit hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 9 malam pada 22 Ogos itu, permainan roller coaster terbabit dilaporkan membawa 22 penumpang terdiri daripada pengunjung tempatan dan pelancong asing.
Insiden itu menyebabkan 10 pengunjung mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan di beberapa kemudahan perubatan di Subang Jaya dan kawasan sekitar, manakala tiada kematian dilaporkan.– BERNAMA
