PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi akan memanggil segera Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi berhubung dakwaan terdapat sejumlah besar talian telefon didaftarkan yang dikhuatiri disalahgunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pihaknya akan memanggil mereka untuk memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan itu sebelum penghujung hari ini.
“Jika benar, syarikat telco (telekomunikasi) ini payah nak jawab. Saya akan panggil untuk mereka datang jumpa saya dan beri penjelasan penuh perkara ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026, di Royale Chulan Damansara, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC),Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Aktivis dan pengasas bersama PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Fahmi berkata, pihaknya juga sedia mengambil tindakan tegas jika didapati dakwaan terbabit adalah benar dengan pihak syarikat telekomunikasi bersekongkol dengan scammer bagi melakukan penipuan berkaitan kewangan.
Katanya, di pihak kementerian, kawal selia yang lebih ketat sudah diperkenalkan termasuk pendaftaran kad SIM atau semakan nombor telefon melalui aplikasi syarikat telekomunikasi menggunakan MyDigital ID.
“Syarikat telekomunikasi mungkin mendaftarkan jumlah (kad SIM prabayar) yang terlalu banyak sebab kita dapati ada sejumlah nombor telefon yang didaftarkan dan akhirnya (digunakan) untuk tujuan tidak baik.
“Jadi saya akan teliti perkara ini, termasuk meminta maklumat lanjut melalui NGO seperti PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) untuk ambil tindakan, jika benar (berlaku),” katanya.
Terdahulu, Nadzim dalam ucapannya, mendedahkan PPIM mengenal pasti sekurang-kurangnya lapan syarikat telekomunikasi yang dikenal pasti membenarkan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa had dengan ada mangsa didakwa didaftarkan kepada 400 nombor telefon berbeza, dengan ia dikaitkan dengan sindikit keldai kad SIM.
Beliau berkata, tindakan syarikat telekomunikasi itu dipercayai untuk mengaut keuntungan kadar segera, sekali gus mereka turut didakwa memberikan ganjaran tertentu kepadakakitangan, ejen dalam kalangan pihak ketiga atau wakil berdaftar yang dilantik untuk menjual kad SIM tanpa had.
“Kita amat berharap tindakan serius diambil oleh Kementerian Komunikasi. Tindakan kementerian untuk panggil CEO syarikat telekomunikasi ini amat baik supaya mereka boleh jawab apa yang sedang berlaku terutama penipuan berleluasa melalui jualan kad SIM prabayar.
“Dalam satu kes baru-baru ini yang diadukan kepada PPIM, ada seorang mangsa ini namanya didaftarkan atas 400 kad SIM.
“Sedangkan kalau ikut peraturan, warga asing hanya dibenarkan daftar dua kad SIM, manakala warga tempatan, dihadkan kepada lima kad SIM. Jadi macam mana boleh berlaku sampai 400 kad SIM didaftarkan atas nama seorang individu dan syarikat telekomunikasi membenarkan ini berlaku,” dakwanya.
Nadzim turut menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud syarikat telekomunikasi yang menjadi dalang atau bersubahat dengan kartel atau sindiket keldai kad SIM prabayar hingga mengakibatkan penipuan mencecah sehingga jutaan ringgit kepada mangsa. -BH Online
