GOMBAK: Pemain industri perlu mengadaptasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan raya sekali gus mengoptimumkan kos kerja tersebut.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pendekatan inovatif itu penting bagi mengimbangi kekangan sumber kewangan kerajaan dalam usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya negara.
“Sebab itu kita mesti lebih inovatif dan proaktif menggunakan teknologi digital atau AI dan sebagainya. Ini membantu kita tidak perlu menggunakan dana terlalu banyak tetapi lebih efisien dan cekap dalam membina atau penyelenggaraan jalan raya,” katanya.
Nanta berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata keutamaan perlu diberikan kepada aspek kualiti penyelenggaraan memandangkan sebahagian besar fizikal jalan raya di negara ini telah menua untuk menampung aliran kenderaan berat pada zaman kini menyebabkannya mudah rosak.
Nanta berkata pelaburan dalam penambahbaikan infrastruktur dan keselamatan jalan raya bukan sekadar perbelanjaan fizikal sebaliknya langkah kritikal kerajaan bagi menyelamatkan nyawa pengguna.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan fokus Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, dalam merangka strategi khusus untuk mengurangkan kemalangan maut.
Berhubung kadar kemalangan negara, Nanta berkata statistik dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan ia berada pada tahap yang membimbangkan.
“Mengikut MIROS, purata 18 nyawa hilang setiap hari akibat kemalangan di seluruh negara. Sebab itu kerajaan serius untuk mengurangkan kemalangan dan kehilangan nyawa,” katanya.– BERNAMA
