IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) kekal menjadi benteng hadapan mempertahankan kedaulatan negara sejak era ancaman pengganas komunis hingga operasi keselamatan sempadan kini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan itu memainkan peranan besar dalam usaha mempertahankan keamanan negara yang berdepan pelbagai ancaman termasuk pengganas komunis, konfrontasi dan cabaran di kawasan sempadan.
“Keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini terbina atas paksi keberanian, pengorbanan serta kesetiaan warga pasukan yang tidak berbelah bahagi.
“Setiap inci tanah berdaulat ini telah dibasahi dengan peluh serta darah perwira kita, Sang Saka Biru,” katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA, Ulu Kinta di sini, hari ini.
Beliau berkata, Tugu Satria Perkasa dibina sebagai simbol penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap jasa dan pengorbanan perwira terdahulu, selain memelihara legasi perjuangan mereka untuk generasi akan datang.
“Tugu ini berdiri teguh sebagai simbol penghormatan tertinggi terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian perwira kita, bermula dari era Pasukan Polis Hutan hingga PGA kini.
“Pemilihan nama Satria Perkasa adalah sangat tepat. Nama ‘Satria’ melambangkan perwira berintegriti dan berjiwa kental, manakala ‘Perkasa’ mencerminkan keteguhan semangat dalam memelihara keamanan negara,” katanya.
Sementara itu, balu kepada seorang wira terkorban, Rokiah Salleh, 64, melahirkan perasaan bersyukur serta terharu kerana pengorbanan arwah suaminya dikenang.
“Saya berasa sangat bangga serta bersyukur sebab jasa bakti mereka dikenang, dan pengorbanan mereka tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat merasmikan Tugu Satria Perkasa.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira jam 2.30 petang itu diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Tugu Satria Perkasa didirikan dengan tiga tiang melambangkan terjemahan kepada moto PGA, iaitu ‘Cekal, Berani dan Setia.’ – BH Online
