KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menempatkan tambahan 50 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), selain meletakkan pengesanan dadah sebagai satu lagi keutamaan keselamatan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata PDRM akan meningkatkan kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), selain menambah baik prosedur keselamatan sedia ada.
“PDRM akan meningkatkan kerjasama dengan petugas keselamatan MAHB, AKPS dan Kastam untuk meletakkan dadah sebagai satu lagi keutamaan selain senjata api dan bahan letupan.
“Kita juga akan meningkatkan aspek keselamatan dengan menambah baik prosedur sedia ada,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara sudah meluluskan penugasan tambahan 50 anggota daripada Unit PGA di KLIA.
“Sebagai bantuan awal, Ketua Polis Negara meluluskan penugasan tambahan 50 anggota daripada Unit PGA di KLIA dalam masa terdekat.
“Ketika ini, seramai 69 anggota JSJN sudah ditempatkan di KLIA dan sememangnya terbabit dalam operasi sebelum ini,” katanya.
Hussein berkata, anggota polis akan ditempatkan bersama petugas keselamatan MAHB di lokasi strategik sekitar KLIA, selain memperluaskan rondaan di kawasan balai berlepas, kaunter daftar masuk dan lokasi lain yang dikenal pasti.
“Anggota polis akan ditempatkan bersama petugas keselamatan MAHB di lokasi strategik.
“Selain rondaan polis di kawasan seperti balai berlepas dan kaunter daftar masuk, penggunaan Unit Anjing Pengesan (K9) juga akan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, selain memperkukuh penugasan anggota, teknologi saringan keselamatan di lapangan terbang juga perlu dipertingkatkan bagi membantu usaha mengesan penyeludupan dadah.
“Anggota polis akan bertindak secepat mungkin sekiranya terdapat imej atau bagasi mencurigakan dikesan ketika proses saringan keselamatan.
“Koordinasi berkesan antara semua agensi penguat kuasa penting bagi memastikan tiada kelemahan yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan dadah,” katanya.
Selain itu, katanya, PDRM akan meningkatkan perkongsian maklumat antara agensi serta menjalankan siasatan secara menyeluruh sehingga dikenal pasti punca dadah itu diperoleh, bukan setakat menyiasat sesuatu kes sahaja.
Beliau berkata, kerjasama antara PDRM, Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan AKPS sebenarnya sudah lama dilaksanakan dan akan terus diperkukuh.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera akan dilaksanakan bagi memperkukuh keselamatan penerbangan.
Ia termasuk penempatan anggota PDRM dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah. -BH Online
