ALOR GAJAH: Projek pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Sistem Modular Precast (MPS) dengan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), dijangka siap sepenuhnya Disember ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata penggunaan teknologi itu membolehkan projek pembinaan disiapkan lebih pantas tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kualiti, sekali gus memastikan bilik darjah tambahan terutama bagi menampung kemasukan murid Tahun Satu sesi persekolahan 2027 dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.
“Terdapat sejumlah projek pembinaan bilik darjah tambahan di seluruh negara dan setakat ini secara keseluruhannya berjalan mengikut jadual.
“Jadi menjelang sebelum hujung tahun ini, sekolah-sekolah yang memerlukan bilik darjah tambahan itu dijangka siap kerana kita menggunakan Sistem Modular Precast (MPS) berasaskan IBS yang membolehkan pembinaan dilakukan dengan lebih pantas,” katanya kepada media selepas Lawatan Kerja di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah, di sini hari ini.
Ahmad berkata, idea penggunaan sistem berkenaan tercetus selepas beliau melihat kejayaan teknologi pembinaan modular di China yang mampu menyiapkan bangunan dalam tempoh singkat.
“Seperti di China, bangunan 10 tingkat disiapkan dalam tempoh kira-kira 28 jam 45 minit menggunakan sistem modular, malah bangunan setinggi 57 tingkat pula berjaya disiapkan dalam masa 19 hari,” katanya.
Mengambil contoh pelaksanaan di Melaka, beliau berkata, sebanyak 14 sekolah di daerah Alor Gajah menerima Projek Pembinaan Bilik Darjah Tambahan Tahun Satu sesi 2027 di bawah Program Cakna Madani dengan nilai keseluruhan RM12.05 juta.
Katanya, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya November depan bagi fasa dua, manakala fasa satu dijangka siap September ini.
Selain itu, katanya, JKR Daerah Alor Gajah turut melaksanakan pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung dan Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung di dua sekolah membabitkan kos RM1.83 juta.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, lima Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM22.6 juta sedang dilaksanakan di daerah itu, selain RM5.1 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan bangunan Persekutuan membabitkan beberapa kementerian dan agensi. -BH Online

