Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Desa dan kawasan luar bandar tidak seharusnya dilihat sebagai kawasan pinggiran pembangunan, sebaliknya berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, mobiliti sosial dan kemajuan negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinannya terhadap potensi desa sebagai antara penggerak kemajuan negara tidak pernah berganjak.

“Keyakinan saya tidak pernah berganjak bahawa desa dan luar bandar boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, melahirkan bakat, membuka peluang dan menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan desa perlu terus diperkasa bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara dengan setiap dasar dan program mengambil kira aspirasi serta keperluan masyarakat luar bandar.

Katanya, pengalaman sepanjang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dihimpunkan menerusi buku Menjulang Desa, Menggalas Amanah Negara yang dilancarkan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) hari ini.

“Buku ini lahir hasil pengalaman saya sepanjang memimpin KKDW. Setiap catatan merakam idea, dasar dan ikhtiar yang menjadi pegangan paling ampuh dalam usaha membangunkan desa serta memperkasa masyarakat luar bandar.

“Antara lain, ia berkisar mengenai suka duka perjalanan memakmurkan desa melalui pengalaman, pemikiran dan pendekatan kepemimpinan menerajui KKDW yang sememangnya dekat dengan jiwa saya sebagai anak kampung,” katanya.

Beliau berkata, buku itu bukan sekadar himpunan ucapan rasmi, sebaliknya merangkumi idea, dasar dan tindakan yang membentuk agenda transformasi luar bandar Malaysia dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin kompleks.

Jelasnya, lapan tema utama digarap dalam buku berkenaan merangkumi tadbir urus, pembangunan, pendidikan, ekonomi, keadilan sosial, pemerkasaan agensi serta usaha diplomasi bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat desa.

“Setiap bab memperlihatkan bagaimana dasar diterjemahkan kepada tindakan dan bagaimana tindakan dilaksana memberi impak kepada kehidupan rakyat.

“Lebih penting, buku ini mengangkat kedudukan desa, bukan sebagai kawasan pinggiran pembangunan, tetapi ruang berpotensi besar untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, mobiliti sosial dan kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik setiap dasar dan program, terselit kisah manusia, aspirasi komuniti serta ikhtiar berterusan untuk memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berharap kandungan buku berkenaan dapat dimanfaatkan pembuat dasar, penjawat awam, pemimpin masyarakat, mahasiswa dan masyarakat umum untuk memahami bahawa masa depan negara bukan hanya dibina di kota besar tetapi bermula dari desa yang diperkasa, dimajukan dan dimakmurkan bersama.

“Tanggungjawab ini mungkin tergalas di bahu saya, namun gandingannya adalah setiap anak desa yang tidak pernah lelah berusaha menggapai puncak jaya,” katanya. -BH Online