Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua kes membabitkan pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang berdepan kesempitan hidup, termasuk terpaksa mengikat perut akibat masalah kewangan wajib dilaporkan segera kepada Pengarah IPMA.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook, susulan menerima mesej daripada seorang pelajar yang memaklumkan rakannya terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan.

“Terima mesej daripada seorang pelajar di sebuah Institusi Pendidikan MARA yang mengadu perihal rakannya yang mengikat perut atas faktor kewangan. 

“Semua kes sebegini WAJIB lapor terus kepada Pengarah IPMA untuk dibantu.

“Saya sudah minta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan untuk segera pantau kes-kes seperti ini di semua 345 Institusi Pendidikan MARA,” katanya dalam satu hantaran.

Asyraf Wajdi berkata, arahan awal sudah diberikan kepada semua Pengarah Pusat supaya mengambil tindakan segera membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang berdepan masalah kewangan sehingga menjejaskan kelangsungan pembelajaran mereka.

“Insya-Allah, Yayasan Pelajaran MARA juga diminta untuk bantu.

“Antara inisiatif yang dilakukan termasuk menyediakan gerobok makanan untuk pelajar yang hadapi masalah.

“Perbincangan juga sudah dilakukan dengan pengusaha makanan di semua kafeteria agar menyediakan juga pilihan makanan dengan harga rahmah,” katanya -BH Online