KUALA LUMPUR: Malaysia dan Vietnam memperkukuh kerjasama pertahanan dengan memberi tumpuan kepada bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), perkongsian risikan dan kesedaran ruang maritim.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Vietnam, Jeneral Phan Văn Giang, ketika lawatan rasmi dua hari beliau ke negara itu.
Katanya, Malaysia turut mencadangkan supaya mekanisme kerjasama diperkasakan menerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi memastikan setiap inisiatif dapat diselaras dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pelbagai bidang kerjasama dibincangkan, termasuk latihan ketenteraan dua hala, perkongsian risikan, kesedaran ruang maritim, operasi menyelamat kapal selam, AI, industri pertahanan serta usaha menghadapi cabaran keselamatan baharu, seperti aktiviti zon kelabu.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan strategik serantau termasuk Laut China Selatan.
“Malaysia menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan perlu terus dipelihara melalui dialog, diplomasi dan undang-undang antarabangsa, di samping menyokong pemuktamadan tatakelakuan (COC) yang efektif dan bermakna,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia menegaskan ASEAN perlu terus bersatu dan mempunyai pendirian strategik sendiri dalam menghadapi cabaran keselamatan, selain kekal memainkan peranan penting dalam menjamin keamanan serta kestabilan rantau.
Beliau turut menghargai keterbukaan Văn Giang menerima cadangan yang dikemukakan Malaysia serta komitmen Vietnam untuk memperkukuh hubungan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
“Saya yakin komitmen bersama ini akan terus memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran ASEAN,” katanya. -BH Online
