SEPANG: Kontinjen Malaysia yang mencipta pencapaian terbaik dalam tempoh 16 tahun pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 bakal menerima ganjaran keseluruhan RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ganjaran berkenaan diberikan sebagai penghargaan kepada atlet yang berjaya menghadiahkan pingat kepada negara selepas menutup kempen Glasgow dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.
Menurutnya, setiap pemenang pingat emas akan menerima RM80,000, manakala atlet yang berjaya memecahkan rekod temasya turut diberikan bonus tambahan RM10,000.
“Bagi SHAKAM, kita memberikan ganjaran mengikut warna pingat iaitu RM80,000 untuk emas dan jika atlet memecahkan rekod temasya, mereka menerima tambahan RM10,000.
“Untuk pemenang pingat perak pula ganjarannya RM40,000, manakala pingat gangsa menerima RM20,000,” katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Taufiq berkata, jumlah keseluruhan RM1.1 juta itu akan diagihkan kepada atlet yang menyumbang pingat dalam temasya berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan komitmen mereka.
Dalam pada itu, Taufiq memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan kadar SHAKAM pada masa depan.
Katanya, usaha berkenaan memerlukan penelitian lanjut serta sokongan pelbagai pihak termasuk sektor korporat bagi memastikan kebajikan atlet negara terus diberi perhatian.
“Di peringkat MSN, kita sedang berbincang mengenai cadangan meningkatkan kadar SHAKAM dan sudah tentu ia memerlukan penelitian serta sokongan bukan sahaja daripada kerajaan, malah sektor korporat.
“Ini adalah satu bentuk penghargaan kepada atlet yang telah berjuang mengharumkan nama negara,” katanya. -BH Online
