Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan semua urusan perolehan kementerian hanya dilaksanakan menerusi pesanan kerajaan melalui Sistem ePerolehan dan tidak pernah meminta pembekal membuat sebarang bayaran bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan tempahan.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPWKM memaklumkan semua urusan perolehan itu dilaksanakan selaras dengan tatacara kewangan yang berkuat kuasa.

“KPWKM tidak pernah meminta pembekal membuat sebarang bayaran kepada pegawai, individu atau pihak ketiga bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan sesuatu tempahan,” menurut kenyataan itu.

Peringatan itu dikeluarkan susulan kegiatan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama pegawai kementerian itu untuk mendapatkan wang melalui tempahan makanan, minuman dan cenderahati bagi program rasmi kerajaan yang sebenarnya tidak wujud.

Menurut KPWKM, sehingga kini aduan yang diterima melibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Dalam kegiatan itu pihak penipu menyamar sebagai wakil syarikat yang kononnya telah menerima tempahan melalui pesanan kerajaan yang dikeluarkan oleh pegawai KPWKM. Pembekal kemudiannya diminta membuat pembayaran bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan tempahan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPWKM menggesa semua pihak, khususnya pembekal supaya sentiasa berwaspada dan menyemak kesahihan setiap pesanan kerajaan melalui Sistem ePerolehan sebelum mengambil sebarang tindakan.

KPWKM turut menasihatkan pembekal tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu atau pihak ketiga yang menggunakan nama kementerian itu serta tidak terpedaya dengan tawaran tempahan atau kerjasama yang dibuat di luar saluran rasmi.

“Orang ramai juga digesa segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang tawaran atau permintaan pembayaran yang mencurigakan menggunakan nama KPWKM,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA