Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

TEMERLOH: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi yang terkorban bersama tiga ahli keluarga apabila pikap dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, dekat Janda Baik, Bentong, semalam, disifatkan sebagai seorang yang sentiasa ceria serta mudah didekati semua lapisan masyarakat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau amat sedih atas kehilangan pemimpin pemuda itu, sekali gus menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negeri.

Beliau berkata, sifat Allahyarham yang sentiasa ceria, tersenyum dan senang mesra dengan semua orang membuatkan pelbagai lapisan masyarakat mudah mendekatinya.

“Saya sangat terasa kehilangan Allahyarham kerana beliau sentiasa ceria dan mudah bergaul dengan semua orang.

“Sebagai pemimpin Pemuda UMNO, Allahyarham sentiasa bekerja kuat dan memberi banyak sumbangan kepada parti.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada parti serta masyarakat di Maran, khususnya golongan belia.

“Ini kerana beliau telah mencurahkan banyak khidmat bakti kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita ketika menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Kampung Paya Luas, di sini, hari ini.

Allahyarham Mohd Radzi, 40; isterinya, Nuraini Mohammad Jafri, 36; anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5; dan adik ipar Mohd Radzi, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, maut apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok.

Seorang lagi anak kembar pasangan terbabit, Muhammad Rizz Haziq pula parah dan sedang dirawat di HOSHAH.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika mangsa dalam perjalanan dari Genting Highlands, Bentong, ke Janda Baik.

Jenazah empat sekeluarga itu selamat dikebumikandalam satu liang sekitar jam 3.15 pagi ini di Tanah Perkuburan Taman Sri Chedung, Maran, dengan dihadiri hampir 1,000 ahli keluarga, pemimpin politik dan kenalan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata parti kehilangan tokoh pemuda berbakat.

Secara peribadi, katanya, beliau rapat dengan Mohd Radzi dan tahu Allahyarham amat disenangi semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia di Maran.

Selain sentiasa ceria, beliau berkata, Allahyarham juga rajin dan berdedikasi kepada parti serta masyarakat.

“Hingga akhir hayatnya, beliau terus memberi sumbangan termasuk dengan menganjurkan pelbagai program untuk belia dan sentiasa bersama anak muda.

“Bagi saya, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada UMNO Maran dan Pahang.

“Mohd Radzi dilihat sebagai pemimpin pelapis untuk masyarakat di Maran pada masa depan kerana Allahyarham mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang lengkap,” katanya. -BH Online