PUTRAJAYA: ASEAN perlu memperkukuhkan komitmen melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan termasuk ancaman baharu yang muncul di ruang digital dan media sosial bagi memastikan masa depan rantau ini terus terjamin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keperluan itu semakin penting kerana ASEAN kini menempatkan kira-kira 200 juta kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, hampir 30 peratus daripada keseluruhan populasi negara anggota.
Beliau berkata, angka itu membuktikan masa depan ASEAN amat bergantung kepada generasi muda yang perlu diberikan perlindungan, peluang dan persekitaran selamat untuk membesar.
“Setiap kanak-kanak berhak menikmati perlindungan, maruah serta peluang untuk membina masa depan yang lebih baik. Prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak perlu menjadi asas kepada setiap dasar dan keputusan yang dibuat,” katanya ketika merasmikan Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9 di kementeriannya hari ini.
Nancy berkata, masih terlalu ramai kanak-kanak di rantau ASEAN yang membesar dalam persekitaran terdedah kepada keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi, sedangkan zaman kanak-kanak seharusnya dipenuhi kasih sayang, pembelajaran dan harapan.
Beliau berkata tema forum tahun ini, “Lindungi Kanak-Kanak ASEAN: Tolak Keganasan” (Shielding ASEAN Childhood: Say No to Violence), bukan sekadar slogan, sebaliknya seruan untuk tindakan bersama dalam memastikan generasi masa depan ASEAN mendapat perlindungan sewajarnya.
Katanya, bentuk keganasan terhadap kanak-kanak kini semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada penderaan fizikal, malah turut merangkumi buli siber, eksploitasi dalam talian serta pelbagai bentuk penderaan digital yang boleh menjejaskan keyakinan diri, maruah dan kesejahteraan mereka.
“ASEAN tidak boleh menerima keadaan ini sebagai norma. Kita perlu terus memperkukuhkan kerjasama menerusi Pelan Tindakan Serantau ASEAN bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Kanak-Kanak.
“ASEAN bukan sekadar bertindak balas terhadap kes keganasan, tetapi turut memperkukuh sistem pencegahan, meningkatkan sokongan kepada mangsa serta menambah baik dasar dengan meletakkan kanak-kanak sebagai teras agenda pembangunan serantau,” katanya.
Nancy berkata, Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah forum berkenaan kerana penyertaan kanak-kanak tidak seharusnya dilihat sebagai simbolik semata-mata, sebaliknya perlu menjadi elemen penting dalam proses penggubalan dasar.
Beliau menggesa delegasi muda yang menyertai forum itu supaya memanfaatkan peluang berkenaan untuk berkongsi pandangan, membina jaringan persahabatan serta menghasilkan cadangan bermakna yang boleh dikemukakan kepada pemimpin ASEAN.
“Suara kanak-kanak mesti didengari, dan saya memberi jaminan bahawa ASEAN bersedia mendengar. Pengalaman mereka mampu memberikan gambaran sebenar yang tidak dapat diterjemahkan hanya melalui statistik,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Nancy berkata proses semakan Akta Kanak-Kanak masih berjalan dan kerajaan bersedia mempertimbangkan sebarang cadangan baharu yang bersesuaian. -BH Online
