KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus memodenkan sistem percukaian negara agar seiring dengan perubahan ekonomi global yang semakin digital, saling berhubung dan kompleks, bagi memastikan negara kekal berdaya saing, menarik pelaburan serta memiliki kedudukan fiskal yang mampan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perubahan model perniagaan, transaksi rentas sempadan dan perkembangan percukaian antarabangsa menuntut kerajaan terus memperbaharui pendekatan terhadap dasar serta pentadbiran cukai.
Beliau berkata, usaha itu sudah menunjukkan hasil apabila pelaksanaan e-Invois berjaya membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip cukai tambahan sebanyak RM1.009 bilion, selain lebih 52,000 pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela pendapatan mereka.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin cenderung ke arah digital, saling berhubung dan kompleks, sistem cukai di seluruh dunia juga perlu bergerak seiring dengan evolusi ini.
“Model perniagaan baharu, transaksi rentas sempadan dan perkembangan cukai antarabangsa memerlukan kerajaan untuk terus memodenkan pendekatan mereka terhadap dasar dan pentadbiran cukai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi LHDN, Tan Sri Johan Mahmood Merican; Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin; dan Presiden Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), Alan Chung.
Amir Hamzah berkata, e-Invois adalah antara reformasi paling signifikan dalam landskap pentadbiran cukai negara kerana bukan sahaja meningkatkan ketelusan, malah memperkukuh integriti data serta menyokong pendekatan pematuhan yang lebih cekap dan berteraskan teknologi.
Beliau berkata, kerajaan juga memahami cabaran yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam melaksanakan e-Invois, justeru memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Disember 2027 bagi membolehkan pembayar cukai mengemas kini, menyemak atau membuat pembetulan tanpa dikenakan penalti.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan insentif elaun modal dipercepatkan yang membolehkan syarikat menuntut elaun penuh dalam tempoh setahun bagi perbelanjaan layak berkaitan pelaksanaan e-Invois, sekali gus membantu mengurangkan kos pematuhan dan beban pentadbiran.
Mengulas perkembangan percukaian antarabangsa, Amir Hamzah berkata, Malaysia turut memperkukuh kesiapsiagaan bagi melaksanakan ‘Global Minimum Tax Framework’ di bawah OECD/G20 Inclusive Framework, selain memperhebat pematuhan melalui penentuan harga pindahan, mekanisme pertukaran maklumat dan Crypto-Asset Reporting Framework (CARF).
Katanya, langkah itu mencerminkan keazaman Malaysia untuk terus berada di barisan hadapan dalam perkembangan percukaian antarabangsa sambil memelihara asas hasil dan kedaulatan fiskal negara.
Beliau berkata, sistem cukai yang kukuh bukan sekadar menjadi sumber hasil kerajaan, malah mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam serta kesediaan semua pihak menyumbang kepada pembangunan negara.
“Sistem cukai yang kukuh mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam tetapi juga ketersediaan industri dan individu untuk menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat.
“Lebih penting lagi, hal ini menggambarkan kapasiti kerajaan untuk menggunakan sumber awam secara bertanggungjawab dalam pembangunan negara,” katanya.
Amir Hamzah berkata, perkembangan global sejak kebelakangan ini membuktikan negara yang memiliki institusi kukuh, tadbir urus mantap dan kewangan awam yang mampan berada pada kedudukan lebih baik untuk mengharungi ketidaktentuan, menangani krisis serta merebut peluang ekonomi baharu. -BH Online

