Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MERSING: Kerajaan Johor memperuntukkan kira-kira RM1.5 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur, kemudahan sukan, kesihatan dan utiliti di daerah ini sebagai usaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri akan mengguna pakai pendekatan pembangunan yang berjaya dilaksanakan di Johor Bahru supaya limpahan kemakmuran turut dirasai oleh semua daerah, termasuk Mersing.

Beliau berkata, Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang dirangka berasaskan sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang bukan sahaja bertujuan merancakkan ekonomi, malah memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.

“Tiada ertinya kita mempunyai pelbagai produk pelancongan jika 80,000 penduduk di Mersing tidak menerima manfaatnya. Begitu juga JETP yang perlu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Muafakat Daerah Mersing bersempena dengan lawatan kerja beliau di Dataran Air Papan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Onn Hafiz berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, RM500,000 disalurkan bagi menaik taraf kemudahan Unit Hemodialisis Hospital Mersing.

Beliau berkata, peruntukan turut membabitkan RM200,000 bagi pertukaran karpet Masjid Kampung Sri Lalang, RM200,000 untuk pembinaan gelanggang futsal di Taman Sri Mersing serta RM200,000 bagi kerja membaik pulih gelanggang futsal di FELDA Nitar.

Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 masing-masing bagi pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Peta dan Kampung Orang Asli Tanjung Tuan, serta RM100,000 bagi menaik taraf bangunan Kami Anak FELDA Malaysia (KAF) di FELDA Tenggaroh Timur.

Katanya, sebanyak RM80,000 pula diperuntukkan bagi pembinaan gelanggang sepak takraw di FELDA Tenggaroh 6.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengumumkan beberapa projek strategik lain termasuk cadangan mewujudkan stesen minyak untuk kegunaan warga Gerup Gerak Khas (GGK) di Kem Iskandar, yang akan diselaraskan oleh ADUN kawasan bersama Pegawai Daerah Mersing.

Beliau berkata, usaha mewujudkan Pejabat Agama serta cadangan pembinaan kampus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di daerah itu turut akan diberi perhatian menerusi JETP. – BERNAMA