PUTRAJAYA, 3 Ogos– Tiga hala tuju utama digariskan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) (BHEUU) menerusi Pelan Strategik BHEUU 2026–2030 bagi memacu reformasi perundangan negara, memperkukuh akses kepada keadilan serta meningkatkan keupayaan digital organisasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hala tuju berkenaan menjadi asas kepada usaha BHEUU memperkukuh sistem perundangan, institusi serta penyampaian perkhidmatan awam bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Fokus pertama adalah menjadikan BHEUU sebagai pemangkin kepada reformasi perundangan negara yang responsif terhadap keperluan semasa dan cabaran masa depan.
“Hala tuju kedua pula memberi penekanan terhadap pengukuhan pelaksanaan serta penyampaian perundangan supaya akses kepada keadilan dapat dipermudah, selain dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
“Manakala hala tuju ketiga melibatkan pengukuhan keupayaan digital menerusi pendigitalan, pemantapan tadbir urus organisasi, pembangunan modal insan serta pemanfaatan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Datuk Seri Azalina berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik BHEUU 2026–2030 serta Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU 2026–2030 di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU 2026–2030 akan menjadi pemacu transformasi digital organisasi menerusi penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mempercepat proses kerja serta memperkukuh keselamatan dan integriti sistem.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan kedua-dua pelan itu tidak hanya bergantung kepada dokumen strategik, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh warga BHEUU bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berkesan dan berorientasikan hasil.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran a/l V. Murugeson. -BH Online
