Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Status kekosongan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dijangka dimuktamadkan minggu ini susulan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hilang kelayakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan berkenaan akan diumumkan selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerima nota berkaitan daripada penasihat undang-undang.

“Itu kuasa prerogatif Speaker bukan saya punya keputusan.. penasihat undang-undang akan siapkan nota berkenaan.

“Saya ingat maksimum minggu ini kita akan maklumkan kepada pihak tertentu posisi dan kedudukannya (kerusi DUN),” katanya pada sidang media selepas Majlis Himpunan Penjawat Awam Brsama Menteri Besar Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan negeri akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Selangor.

“Itu keputusan SPR bukan keputusan saya sebab SPR yang akan buat penilaian. Adakah cukup tiga tahun ataupun tidak kena buat PRK ataupun tidak..kita kena akur,” katanya.

Pada masa sama beliau menolak kemungkinan sekiranya PRK dilaksanakan, berlaku pertembungan satu lawan satu.

“Mungkin jadi tiga empat penjuru, mungkin BERSAMA masuk..BERSATU masuk…tidak mungkin satu lawan satu sebab dinamika politik boleh berubah.

“Jadi kita lihat keadaan dan situasinya kita masih mempunyai minimum satu tahun sebelum penggal berakhir,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Amirudin mengesahkan kerajaan negeri menerima maklumat mengenai kemungkinan berlakunya PRK di Selangor, namun berkata perkara itu masih menunggu pengumuman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri.

Beliau berkata, semakan sedang dilakukan bersama penasihat undang-undang susulan dakwaan membabitkan kehilangan kelayakan seorang ADUN.-BH Online