KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Sebanyak 297 unit lampu jalan LED berkuasa solar akan dipasang di lokasi berisiko di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebagai langkah meningkatkan keselamatan pengguna, khususnya pada waktu malam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemasangan lampu jalan di lokasi yang dikenal pasti kini sedang dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari kawasan selepas Terowong Genting Sempah hingga ke Persimpangan Mempaga melibatkan jarak kira-kira 26 kilometer.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi turut melaksanakan pemantauan serta penambahbaikan di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan atau ‘blackspot’.
“Berdasarkan analisis data kemalangan tahunan, sebanyak 13 lokasi ‘blackspot’ di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dikenal pasti untuk tindakan penambahbaikan serta mitigasi bagi tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2026 turut memperuntukkan RM30 juta menggunakan peruntukan dalaman LLM bagi pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di lokasi yang dikenal pasti berisiko atau kerap berlaku kemalangan pada waktu malam.
Langkah berkenaan dijangka membantu meningkatkan tahap pencahayaan di kawasan kritikal sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serta memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya. -Berita RTM
