KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat atas nasihat pasukan pakar perubatan.
Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri PETRA, Datuk Misiah Taib berkata, keadaan kesihatan Datuk Seri Fadillah kini dilaporkan stabil, namun beliau dinasihatkan berehat sepenuhnya serta tidak menerima sebarang kunjungan buat sementara waktu bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar.
“Pihak keluarga memohon agar seluruh rakyat mendoakan agar urusan pembedahan dan rawatan Timbalan Perdana Menteri dipermudahkan, selain dikurniakan kesembuhan serta dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Pihak keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas doa, sokongan serta keprihatinan yang dizahirkan terhadap kesihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. -Berita RTM
