SEREMBAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi desa dengan memastikan pekebun kecil menikmati pulangan hasil yang lebih adil dan pendapatan lebih mampan.
Menerusi inisiatif yang dilaksanakan, RISDA sebagai pembeli getah utama (anchor buyer), berjaya merekodkan nilai pembelian hasil getah pekebun kecil mencecah RM29.08 juta setakat pertengahan Julai tahun ini.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan sempena Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Tengah 2026, di sini, RISDA berkata pencapaian itu membabitkan pembelian lebih 7,000 tan metrik getah daripada pekebun kecil di seluruh negara.
Ia sekali gus membuktikan peningkatan keyakinan terhadap peranan RISDA sebagai antara saluran pemasaran yang cekap, telus dan menawarkan pulangan harga pasaran lebih stabil dan kompetitif.
Agenda strategik RISDA
Inisiatif anchor buyer menjadi agenda strategik RISDA dalam mengukuh rantaian pemasaran getah negara dengan memastikan hasil pekebun kecil dipasarkan secara tersusun, mengurang kebergantungan orang tengah serta mewujudkan persaingan pasaran yang sihat.
Pendekatan ini turut memperkukuh peranan agensi sebagai pemudah cara pemasaran melalui rangkaian pusat kutipan, kerjasama koperasi, pengusaha depo dan pemegang lesen, di samping memperluaskan operasi Perkhidmatan Pemasaran Getah Bergerak (PGB) yang dikendalikan syarikat milikan RISDA, RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB).
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan ekosistem pemasaran yang sistematik ini membolehkan pekebun kecil menikmati akses pemasaran lebih mudah, pantas dan kompetitif, sekali gus memastikan hasil getah dapat dipasarkan secara efisien dan memberikan nilai lebih baik.
Sehingga pertengahan Julai ini, Pahang merekodkan nilai pembelian tertinggi melebihi RM9.04 juta, diikuti Perak (RM4.67 juta), Johor (RM3.40 juta), Kedah (RM2.98 juta) dan Negeri Sembilan (RM2.53 juta).
Prestasi ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi pemasaran yang digerakkan secara bersepadu oleh seluruh jentera RISDA di seluruh negara.
Pelaksanaan anchor buyer ini bukan sekadar meningkatkan jumlah pembelian hasil getah, malah menjadi instrumen penting dalam memastikan nilai optimum dapat dikembalikan kepada pekebun kecil melalui sistem pemasaran yang telus, tersusun dan berdaya saing, selaras pemerkasaan agenda Desa Lestari oleh KKDW.
Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha kerajaan memperkukuh daya saing industri komoditi getah negara serta penetapan capaian sasaran pengeluaran satu juta tan getah menjelang 2030, di samping memberi manfaat kepada lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.
Konvensyen menghimpunkan pekebun kecil dan rakan strategik dari Negeri Sembilan, Selangor dan Perak itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Datuk Dr Roslan Mahmood dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, dalam ucapan berkata, di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid, pihaknya melihat pendekatan pembangunan desa semakin tersusun dan menyeluruh di bawah agenda Desa Lestari.
Beliau berkata, kerjasama antara kementerian, agensi serta pelbagai pihak terus diperkukuh agar setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan benar-benar sampai kepada rakyat serta memberi manfaat kepada komuniti desa.
“Setiap program dilaksanakan bukan sekadar memenuhi sasaran tahunan tetapi lebih penting ialah bagaimana setiap inisiatif itu mampu membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan, memperkukuh ekonomi keluarga dan membina masa depan desa yang lebih baik,” katanya.
Pada majlis itu, RISDA menandatangani Memorandum Persefahaman bersama beberapa pihak sebagai rakan strategi untuk mengukuh pengurusan bekalan, memperluas pemasaran hasil getah serta membuka lebih banyak peluang kepada pekebun kecil dan peneroka. -BH Online
