Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CAJ yang dikenakan terhadap peniaga yang menerima bayaran melalui platform kod QR DuitNow tidak akan membebankan golongan bawahan.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata,
perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, semalam.

“Itu saya sudah bincang dengan Gabenor semalam, mengikut beliau (Gabenor), penjelasan akan diberikan, tidak akan membebankan golongan bawahan,” katanya kepada media pada Pameran Postnormal Times di Kl Jazz & Art, di Wisma YPR, di ibu negara, hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai pelaksanaan caj bagi pembayaran menggunakan platform kod QR Duitnow mulai 1 November ini.

Semalam, pengendali platform pembayaran melalui kod QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.

Mengulas mengenai sama ada caj penggunaan kos QR itu akan ditarik balik, Anwar menegaskan perkara itu bergantung kepada keputusan BNM.

Tegasnya, BNM yang bertanggungjawab berhubung perkara itu.

“Itu (tarik balik caj) keputusan BNM, jadi Bank Negara ada tugasnya, biar dia laksanakan tugasnya.

“Sekarang yang penting (caj) tidak akan membebankan golongan pendapatan rendah,” katanya. -Media Perpaduan