Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEBANYAK 13 sebab rayuan dikemukakan pendakwa raya untuk membatalkan pembebasan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan hari ini, hujah pendakwaan terutamanya tertumpu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersilap dalam melaksanakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan presiden Bersatu itu untuk membatalkan empat pertuduhan jenayah.

Mengikut salinan petisyen rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, antara 13 sebab itu ialah Datuk Muhammad Jamil Hussin telah terkhilaf dalam mentafsir undang-undang dan fakta, lapor Malaysiakini.

Pestisyen itu berkata langkah tersebut pramatang kerana menghalang pihak pendakwaan daripada menunjukkan bukti dokumentari yang relevan dan keterangan saksi semasa perbicaraan penuh.

Pendakwaraya berhujah bahawa permohonan pembatalan Muhyiddin adalah menyalahgunakan proses mahkamah kerana perbicaraan penuh terhadap bekas perdana menteri itu masih belum bermula.

Dusuki mendakwa sebarang kecacatan yang didakwa dalam pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin bukanlah memudaratkan dan boleh diperbetulkan di mahkamah.

Pada 15 Ogos lalu, Muhammad Jamil sebagai Hakim Mahmakah Tinggi membenarkan permohonan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk dilepas dan bebaskan daripada empat pertuduhan.

Hakim memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Justeru, tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Pendakwa raya mendakwa Mahkamah Tinggi juga telah tersilap kerana Muhyiddin gagal membuktikan bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa itu merupakan salah guna proses mahkamah.

Sebelum ini, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri (ketika itu) didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti itu.

Walaupun bebas daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, namun Presiden Bersatu masih berdepan tiga lagi pertuduhan.

Pengerusi PN itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu. -Media Perpaduan