Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

POLIS masih menunggu beberapa maklumat lanjut berkaitan aspek teknikal daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memohon senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan, aspek teknikal itu melibatkan maklumat dari sudut perundangan, kesalahan dan sebagainya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini polis sedang menunggu beberapa maklumat sebelum menghantar permohonan kepada Interpol.

“Beberapa aspek teknikal (maklumat) diperlukan yang sedang kita tunggu berkaitan permohonan tersebut.

“Apabila dilengkapkan kemudian baru kita hantar permohonan rasmi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit aman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM akan memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin ke dalam senarai notis merah, jika gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. -Media Perpaduan