KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memastikan pembangunan pasaran karbon negara di Sarawak dilaksanakan seiring dengan pemeliharaan hutan serta perlindungan hak masyarakat setempat, khususnya penduduk asal dan komuniti di kawasan pedalaman.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pendekatan itu penting memandangkan Sarawak antara wilayah yang mempunyai litupan hutan yang luas serta kekayaan biodiversiti tinggi, dengan kawasan berhutan dianggarkan meliputi 61.52 peratus daripada keluasan negeri.
Beliau berkata, kekayaan sumber asli itu bukan sahaja penting untuk mengekalkan fungsi ekologi dan kestabilan iklim negara, malah menyokong kesejahteraan masyarakat menerusi pembangunan ekonomi hijau.
“Komitmen membangunkan pasaran karbon negara seiring pemeliharaan hutan serta perlindungan hak masyarakat setempat ini dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai langkah NRES melindungi kawasan hutan di Sarawak serta usaha memastikan penduduk tempatan menikmati manfaat daripada perdagangan kredit karbon negara.
Arthur berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) bagi memastikan kawasan hutan terus diurus secara mampan.
Menurutnya, Dasar Perhutanan Malaysia dan Pelan Strategik Perhutanan Sosial 2021–2025 turut memberi penekanan kepada penglibatan aktif komuniti dalam pengurusan sumber hutan melalui program ekopelancongan, perhutanan tani dan penghasilan hasil hutan bukan kayu.
“Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan komuniti, malah memperkukuh peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha pemuliharaan hutan, selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.
“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menyokong usaha konservasi biodiversiti kerajaan negeri yang menyaksikan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM22.04 juta tahun ini,” katanya.
Selain itu, Arthur berkata, NRES sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU RUPIN) yang akan memperuntukkan mekanisme kawal selia bagi memastikan urus niaga karbon dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Beliau berkata, hasil perdagangan kredit karbon akan disalurkan ke Kumpulan Wang Perubahan Iklim yang diwujudkan di bawah undang-undang berkenaan bagi membiayai pelbagai inisiatif berkaitan perubahan iklim, termasuk memperkasa komuniti rentan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menjawab soalan tambahan mengenai manfaat projek kredit karbon kepada komuniti orang asal dan masyarakat pribumi, beliau berkata kementerian sedang membangunkan mekanisme kewangan inovatif di bawah Strategi REDD+ Kebangsaan menerusi kerangka kewangan REDD+.
Katanya, kerangka itu merangkumi dua instrumen utama iaitu Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO).
“Kedua-dua instrumen itu dibangunkan berasaskan Cancun Safeguards yang memberi penekanan kepada perlindungan sosial, alam sekitar dan tadbir urus,” katanya. -BH Online
