SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan rakyat Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli KongresAmerika Syarikat (AS) menyuarakan perasaan tidak puas hati atas keputusan itu.
Perdana Menteri menekankan bahawa hakikat Malaysia adalah negara merdeka dan berdaulat bukan perkara baharu, malah kedudukan itu terbina sejak puluhan tahun dahulu.
“Beberapa Ahli Parlimen Amerika telah membuat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia menyekat kemasukan rakyat Israel ke dalam syarikat-syarikat dan sebagainya.
“Ia tidak menghalang… dia (Ahli Kongres AS) boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warga Israel di Malaysia,” katanya.
“Ternyata mereka tidak mengikuti langsung perkembangan. Banyak negara melarang, dan Malaysia melarang sudah puluhan tahun.
“Mereka menggunakan kesempatan sekarang untuk mengugut saya dan Malaysia, memohon supaya Kerajaan AS mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita pada program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio, semalam, bagi menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Anwar mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.
Berdasarkan surat dimuat naik Landsman dalam akaun Facebooknya, Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan amat serius terhadap kenyataan Anwar.
Sehubungan itu, mereka mendesak Kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia adalah berasas dan perlu difahami lapan Ahli Kongres AS terbabit, terutama berkaitan kekejaman Israel terhadap Palestin.
“Mana mungkin wakil rakyat negara mereka boleh memadam kenyataan mengenai pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menakluk negeri, dan tidak mampu bercakap apa-apa.
“Malaysia ini negara merdeka… kalau pun mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas menyuarakan, kita bebas menyuarakan,” katanya.
Ditanya sama ada ia akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dengan AS pula, Perdana Menteri menegaskan perkara itu tidak sepatutnya memberikan kesan.
“AS memang sedia maklum dasar Malaysia ini sudah puluhan tahun. Jadi, saya tidak fikir ia patut menjejaskan.
“Kita masih menerima baik rakyat Amerika dan perniagaan, pelaburan serta perdagangan AS. Kita mengekalkan hubungan baik dengan AS sepertimana kita adakan dengan negara lain.
“Mustahil untuk kita sampai ke tahap tidak sanggup dan tidak berani menegur keterlanjuran dari segi pembunuhan rakyat yang tidak bersalah, termasuk di Palestin dan Gaza,” katanya. -BH Online
