Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penyesuaian semula Belanjawan 2026 dilaksanakan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal terutamanya bantuan-bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan kebajikan masyarakat, insentif kepada sektor pertanian, bantuan persekolahan dan lain-lain bantuan yang diberi komitmen oleh kerajaan.null

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelarasan perbelanjaan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal antaranya program, seminar, majlis keraian, perjalanan ke luar negara.

Katanya, semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang dirancang.

“Secara prinsipnya, kerajaan boleh mendapatkan pinjaman bagi membiayai keperluan perbelanjaan tertentu. Walau bagaimanapun, menggantikan sepenuhnya potongan perbelanjaan dengan pinjaman bukanlah pendekatan yang wajar dilaksanakan secara berterusan.

“Tambahan pinjaman akan meningkatkan defisit fiskal dan paras hutang kerajaan. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu menanggung kos khidmat hutang yang lebih tinggi pada tahun tahun berikutnya. 

“Peruntukan yang digunakan untuk membayar faedah dan bayaran balik hutang tersebut akhirnya akan mengurangkan ruang fiskal yang boleh digunakan untuk membiayai program pembangunan serta perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah potongan yang dicadangkan ke atas Belanjawan asal 2026 mengikut kementerian dan implikasinya ke atas mutu dan liputan perkhidmatan awam kepada rakyat serta bolehkah potongan perbelanjaan ini diganti dengan pinjaman kerajaan.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam mendepani krisis Asia Barat dan memastikan perbelanjaan awam yang lebih berhemat, beberapa langkah kawalan bagi mengoptimumkan perbelanjaan dilaksanakan merentasi kementerian dan agensi kerajaan. 

Walau bagaimanapun, kementerian dan agensi diberi ruang untuk menyusun semula perbelanjaan masing-masing berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan sentiasa terbuka untuk meneliti dan membincangkan sebarang keperluan mendesak yang dikemukakan oleh kementerian dan agensi, tertakluk kepada kedudukan fiskal kerajaan serta keutamaan perbelanjaan semasa. 

Anwar berkata, kerajaan perlu memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan supaya keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, keselamatan, bantuan sosial dan pembangunan infrastruktur dapat diteruskan bukan sahaja pada masa ini, malah untuk generasi akan datang. 

Oleh yang demikian, tegasnya sebarang keputusan untuk menambah pinjaman akan dinilai secara berhati-hati dengan mengambil kira keutamaan perbelanjaan, kedudukan fiskal semasa, impak kepada ekonomi negara serta kemampuan kerajaan untuk memenuhi obligasi hutangnya pada masa hadapan. 

“Kementerian Kewangan berpandangan bahawa keutamaan bukan sekadar mencari sumber pinjaman baharu untuk menampung perbelanjaan, tetapi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan nilai terbaik kepada rakyat. 

“Oleh itu, langkah rasionalisasi dan penjimatan yang tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam akan terus diberi keutamaan sebelum kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk menambah pinjaman,” katanya. -BH Online