Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengatur gerak 667 aset di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan impak fenomena cuaca ekstrem Super El Nino yang dijangka melanda Malaysia menjelang awal tahun depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata semua pengarah JBPM negeri telah diarahkan menyusun serta menempatkan aset secara strategik di kawasan berisiko tinggi, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung dan Pantai Timur Sabah.

“JBPM telah membuat persiapan dan saya sendiri telah berjumpa secara khusus kepada ketua-ketua zon di seluruh negara untuk mengambil maklum mengenai persiapan awal, sebelum kita mula menghadapi impak Super El Nino pada Januari hingga April tahun depan.

“Setakat ini, tiada impak lagi sebab Super El Ninoakan berlaku di (Lautan) Pasifik. Kalau betul jangkaan pada November dan Disember, ia akan sampai ke Malaysia pada Januari, dan selalunya kawasan utara seperti Perlis dan Kedah akan kering menyebabkan jerami atau belukar mudah terbakar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bicara Governans, Integriti dan Antirasuah (BiGIAR) 2026 di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Beliau berkata kawasan utara seperti Perlis dan Kedah dijangka berdepan keadaan lebih kering, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran jerami dan belukar, manakala Pantai Timur Sabah diramal mengalami penurunan ketara taburan hujan pada Mac hingga April tahun depan.

Bagi menghadapi situasi itu, Nor Hisham berkata JBPM merancang menggerakkan jentera tangki air ke 183 lokasi kritikal, selain mengoptimumkan penggunaan lebih 600 pam mudah alih, dan memperkukuh logistik udara menerusi 10 helikopter yang dijangka bersedia menjelang Disember ini.

Beliau berkata JBPM turut memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Perhutanan bagi mempercepat operasi pemadaman serta mempertingkat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka.

“Jika berlaku gangguan bekalan atau tekanan air rendah, Pusat Kawalan JBPM akan membekalkan air ke kawasan kritikal serta mengatur gerak jentera dari zon lain lebih awal tanpa menunggu keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata JBPM merekodkan penurunan sebanyak 25 peratus kes tatatertib bagi enam bulan pertama tahun ini hasil pelaksanaan program kesedaran integriti serta naziran, yang dijalankan secara berterusan di 336 balai bomba di seluruh negara.

Beliau berkata hingga Jun tahun ini, hanya 15 kes tatatertib dibawa ke Lembaga Tatatertib berbanding 36 kes bagi keseluruhan 2025, selain 43 kes pada 2024 dan 41 kes pada 2023.

Aduan yang diterima melibatkan lapan kategori, iaitu tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah, ingkar perintah, jenayah kekerasan, muflis, tidak jujur, jenayah syariah dan kes keldai akaun, yang kini disiasat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Daripada 15 kes itu, tujuh anggota dikenakan amaran, tiga ditangguhkan pergerakan gaji, tiga dibuang kerja dan dua dilucutkan hak emolumen. Setiap kes diteliti dengan cermat bagi memastikan tindakan disiplin diambil secara adil dan berdasarkan bukti yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata penurunan itu turut didorong pelaksanaan intervensi menerusi pasukan khas yang dihantar ke balai-balai dikenal pasti bagi meneliti aspek pengurusan, penyusunan tenaga kerja dan kewangan, sekali gus mengurangkan trend aduan dalam kalangan warga JBPM.– BERNAMA