Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

ARAU: Pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), didapati berkesan dan berjaya membantu usahawan golongan B40.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata inisiatif itu menerima maklum balas positif berikutan harga makanan siap masak yang dijual berpatutan dan memanfaatkan pelajar.

Katanya, usaha ‘serampang dua mata’ itu bukan sahaja menjana pendapatan tambahan buat golongan B40, malah membantu meringankan kos sara hidup pelajar.

“Secara purata, hasil jualan bagi mesin layan diri ini adalah sekitar RM4,000 sebulan dan ada ketikanya pada waktu kemuncak boleh mencecah sehingga RM8,000.

“Makanan disediakan sentiasa mendapat sambutan sehingga perlu ditambah dua hingga tiga kali sehari.

“Ini membuktikan mekanisme diperkenalkan ini berjaya menghubungkan usahawan daripada kumpulan B40 untuk menyediakan makanan masak, dan pada masa sama membantu pelajar mendapatkan makanan pada harga paling minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau mesin IPR dan pelaksanaan Program Bank Makanan dan Dapur Siswa MADANI di UniMAP di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Mohd Mustafaa Al Bakri Abdullah.

Lawatan membabitkan dua lokasi mesin IPR iaitu di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman dan Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah bagi meninjau sendiri impak pelaksanaan inisiatif berkenaan dalam meningkatkan pendapatan usahawan melalui platform perniagaan yang lebih sistematik serta mudah didapati.

Peserta IPR di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman, Norleyana Nordin, yang mengusahakan jualan makanan buatan sendiri merekodkan purata jualan bulanan RM2,178.80, dengan jualan tertinggi mencecah RM4,905 pada Januari lalu.

Di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Noor Hasfalela Mohd Noor mencatatkan purata jualan bulanan sebanyak RM4,595. -BH Online