KULAI: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok tidak akan menjejaskan hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.null
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, hubungan antara pemimpin BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan kekal profesional meskipun kedua-dua gabungan berdepan saingan pada PRN Johor kali ini.
“Setakat ini tidak mengganggu dan saya memang mengharapkan tidak ada gangguan.
“Sebab kita adalah menteri dan timbalan menteri yang bekerja secara profesional. Mungkin kita berbeza pandangan di Johor dan membangkitkan isu-isu yang boleh memenangkan calon masing-masing tetapi kita bermusyawarah dengan hikmah, dengan baik dan profesional dalam setiap mesyuarat Kabinet,” katanya pada sidang media program Munajat Perdana dan Doa Selamat BN Kulai, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut berharap semua pemimpin dan penyokong BN serta PH dapat menerima apa juga keputusan pilihan raya dengan penuh kematangan serta tidak bertindak mengikut emosi.
“Saya harap begitulah dan ikutilah sikap serta cara pemimpin-pemimpin atasan yang bergerak secara profesional,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengulas dakwaan kononnya BN akan bekerjasama dengan PAS sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor.
Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menafikan dakwaan berkenaan perlu dilihat dalam konteks sebenar.
“Saya fikir realiti politik harus diterjemahkan dalam apa juga keadaan. Datuk Onn tidak bermaksud demikian.
“Bila dengan sebuah parti lain yang kita tidak bersama-sama dan tidak berhajat untuk membentuk kerajaan dengan parti berkenaan, ia tidak memperlihatkan dasar perkauman kerana parti adalah parti, bukan bangsa.
“Saya melihat Datuk Onn Hafiz seorang yang sangat berhati-hati, lembut dan bijaksana dalam menangani isu. Saya tidak fikir perkara itu harus dijadikan isu penting menjelang beberapa jam lagi sebelum pengundian,” katanya. -BH Online
