Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

BUKIT KAYU HITAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Laluan Baharu, yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, perasmian itu manifestasi komitmen tinggi Malaysia dan Thailand memperkukuh hubungan diplomatik, mempererat kerjasama strategik rentas sempadan serta memperkasakan kesalinghubungan serantau demi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Laluan baharu ini mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada jam 6 pagi (waktu Malaysia), esok. 

“Seiring itu, pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Danok akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah malam (waktu Malaysia), esok.

“Pembukaan laluan baharu ini satu pencapaian strategik yang mencerminkan kejayaan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam membangunkan infrastruktur sempadan yang lebih moden, bersepadu dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KDN berkata, laluan itu juga menjadi simbol persahabatan antara Malaysia-Thailand dan menyokong agenda kesalinghubungan ASEAN melalui peningkatan mobiliti rakyat, perdagangan, pelaburan serta pelancongan di rantau ini.

“Laluan baharu itu dijangka memberi pelbagai manfaat kepada Malaysia dan Thailand, antaranya memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Thailand melalui kerjasama rentas sempadan yang lebih erat serta meningkatkan kesalinghubungan Koridor Ekonomi Utara-Selatan ASEAN.

“Selain itu, ia juga dapat melancarkan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan, merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan, meningkatkan kecekapan urusan keluar masuk negara serta memperkukuh keselamatan sempadan melalui infrastruktur moden dan kawalan bersepadu,” katanya

Selain itu, KDN yakin pembukaan laluan baharu itu akan menjadi pemangkin kepada era baharu kerjasama Malaysia-Thailand yang lebih kukuh, menyokong pertumbuhan ekonomi rentas sempadan dan memperkukuh pengurusan pintu masuk negara yang selamat, cekap serta berintegriti.

“KDN merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan, agensi penguatkuasaan dan rakan strategik KDN di Malaysia serta Thailand yang menjayakan projek berimpak tinggi ini.

“Selaras aspirasi Malaysia MADANI, KDN akan terus memperkukuh pengurusan sempadan negara melalui pembangunan infrastruktur moden, penggunaan teknologi dan kerjasama strategik antarabangsa demi keselamatan negara serta kemakmuran bersama,” katanya. – BERNAMA