MERSING: Kerajaan meluluskan 24 jawatan baharu Tok Batin bagi memperkukuh pentadbiran dan kepimpinan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kelulusan itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet semalam, sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkasa pembangunan komuniti Orang Asli.
“Semalam saya membawa isu Orang Asli ke mesyuarat Jemaah Menteri dan (hasilnya) 24 jawatan baharu Tok Batin diluluskan Kabinet untuk kampung Orang Asli,” katanya berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Endau di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, selain penambahan jawatan Tok Batin, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama kerajaan negeri turut mewartakan beberapa kampung Orang Asli di Johor.
“Kampung diwartakan ialah Kampung Tanjung Tuan, Kampung Tanah Abang, Kampung Peta dan Kampung Labong di Endau.
“Beberapa kampung lain masih dalam proses pewartaan, namun kelulusannya tertakluk kepada kerajaan negeri,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana masyarakat Orang Asli termasuk pembinaan empat sekolah dan penyediaan dewan, jalan raya, bekalan air, elektrik serta kemudahan telekomunikasi.
“Usaha memperkasa masyarakat Orang Asli akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif digerakkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, pendekatan itu bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat Orang Asli melalui penyediaan kemudahan asas serta pengukuhan institusi kepimpinan di peringkat kampung.
