Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa serantau menerusi pembangunan Kompleks Logistik MRO Subang bernilai RM80 juta yang dijangka menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pembangunan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebagai hab MRO utama negara, sejajar dengan pertumbuhan industri aeroangkasa tempatan.

Beliau berkata, projek berkenaan dibangunkan menerusi usaha sama antara Malaysia Airports dan Mitsui Fudosan Group dari Jepun, dengan pegangan masing-masing sebanyak 30 peratus dan 70 peratus, membabitkan nilai pembangunan keseluruhan RM80 juta. 

“Subang merupakan sebahagian daripada misi kami yang lebih besar untuk mengubah Malaysia menjadi hab MRO bagi industri aeroangkasa.

“Ada banyak minat yang datang ke Malaysia, khususnya di Subang. Saya telah beberapa kali berada di sini bagi pelbagai projek dan fasiliti baharu yang dibangunkan. Akan ada lebih banyak minat serta pelaburan daripada syarikat pengendali MRO, bukan sahaja dalam industri aeroangkasa tetapi juga sektor berkaitan.

“Kami berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan yang seterusnya mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang MRO dan teknologi. Banyak peluang akan diwujudkan untuk rakyat Malaysia dalam industri aeroangkasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kompleks Logistik MRO Subang, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kedutaan Jepun, Daisuke Nihei; Pengarah Urusan Mitsui Fudosan, Masayoshi Saito dan Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani.

Kompleks Logistik MRO Subang dibangunkan oleh MFMA Industrial Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd dan Malaysia Airports (Subang) Sdn Bhd sebagai pelaburan strategik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan berkaitan penerbangan dan aeroangkasa di kawasan Lapangan Terbang Subang.

Terletak di dalam Subang Aerotech Park, kemudahan itu menyediakan ruang industri siap dibina yang direka untuk memenuhi keperluan pelbagai pengendali dalam sektor penerbangan, aeroangkasa dan logistik. 

Konsep pembangunan yang fleksibel membolehkan syarikat baharu serta pemain industri sedia ada mengembangkan operasi masing-masing dalam ekosistem aeroangkasa negara.

Mengulas lanjut, Loke berkata, model kerjasama itu membolehkan Malaysia Airports memanfaatkan aset strategiknya, khususnya tanah berhampiran lapangan terbang, dengan menggandingkan kepakaran rakan strategik yang berpengalaman dalam pembangunan serta pengoperasian kompleks logistik lapangan terbang. 

“Malaysia Airports adalah pengendali lapangan terbang, tetapi ia juga mempunyai aset strategik seperti tanah berhampiran lapangan terbang.

“Kita sentiasa mencari rakan strategik yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Dalam hal ini, saya difahamkan Mitsui Fusodan mempunyai kepakaran membangunkan dan mengendalikan kompleks logistik di Lapangan Terbang Haneda di Jepun.

“Kerjasama seperti ini membantu meminimumkan risiko kepada Malaysia Airports, di samping memberikan pulangan yang lebih terjamin,” katanya. 

Loke turut memaklumkan kira-kira 50 peratus ruang di Kompleks Logistik MRO Subang telah mendapat komitmen penyewa, yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat dalam sektor MRO. 

Sementara itu, Saito berkata, Malaysia mempunyai kelebihan kedudukan geografi sebagai hab logistik berpotensi di ASEAN, manakala lokasi projek di Subang Aerotech Park menawarkan hubungan yang baik ke pusat bandar Kuala Lumpur serta ekosistem industri aeroangkasa yang matang.

Beliau berkata, Mitsui Fudosan Group kini memiliki dan mengendalikan lebih 50 kemudahan logistik di Jepun dan luar negara, selain mempunyai pengalaman membangunkan gudang, kemudahan storan sejuk, kilang serta pusat data yang akan dimanfaatkan bagi membangunkan kompleks logistik berkualiti tinggi untuk memenuhi keperluan penyewa termasuk syarikat MRO. -BH Online