Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mempertimbang untuk menggubal akta baharu bagi menggantikan Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183).

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata proses semakan semula Akta 183 sedang dilaksanakan, bertujuan memastikan pemakaian akta terbabit selaras peredaran zaman, selain kekal relevan.

“Syor penggubalan akta baharu itu mengambil kira pelbagai cabaran isu kompleks berkaitan peningkatan bilangan pengemis dan gelandangan, termasuk ketiadaan penempatan khusus untuk gelandangan dengan masalah mental.

“Fokus utama tertumpu kepada terma semasa, menyelaraskan punca kuasa agensi berkaitan, mewujudkan mekanisme tadbir urus jelas serta mengimbangi aspek intervensi pemulihan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jumlah warga emas dan orang kurang upaya (OKU) direkodkan sebagai gelandangan atau terbiar di kawasan bandar, selain pelan memperluas kapasiti pusat perlindungan, penjagaan serta intervensi sosial bagi menghadapi peningkatan populasi golongan rentan itu.

Nancy berkata, seramai 206 orang warga emas diambil di seluruh negara mengikut peruntukan Seksyen 3(1) Akta 183, seperti direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara Januari hingga April lalu.

Beliau berkata, 48 daripada keseluruhan individu itu membabitkan kes di Kuala Lumpur, selain tiada maklumat direkodkan bagi OKU diambil di bawah Akta 183 bagi tempoh sama.

Tindakan penguatkuasaan itu, katanya bertujuan melindungi dan memulihkan orang papa, selain JKM melakukan operasi berjadual, bersepadu dan ‘ad hoc’ berdasarkan aduan orang awam.

“Mereka kemudian akan disaring bagi meneliti program pemulihan atau intervensi agensi bersesuaian dengan matlamat mengintegrasikan semula mereka ke dalam masyarakat.

“Antara tindakan susulan diambil JKM meliputi penyatuan semula dengan keluarga, penempatan di institusi kendaliannya, kemasukan ke Desa Bina Diri dan latihan kemahiran.

“Selain itu, bimbingan bagi meningkatkan disiplin, keyakinan diri dan kebolehpasaran pekerjaan supaya dapat berdikari serta kembali berfungsi dalam masyarakat,” katanya. -BH Online