Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dan syarikat swasta diminta bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam usaha mempromosikan produk pelancongan tempatan di luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjasama itu penting bagi memberi pendedahan kepada orang luar, terutama di pentas antarabangsa.

“Saya minta Yang Berhormat (YB) Kuantan, kalau boleh kita nanti duduk berbincang bagaimana untuk bekerjasama menaik taraf produk daripada Pahang,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai usaha pihak kementerian dalam membantu pengusaha industri batik di Parlimen Kuantan termasuk bantuan kewangan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, daya saing dan pemasaran produk batik tempatan.

King Sing berkata, ketika ini Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan), banyak membantu usahawan memasarkan produk tempatan melalui saluran fizikal mahupun digital.

Katanya, Kraftangan Malaysia menyokong pembangunan usahawan melalui latihan teknikal, latihan keusahawanan dan pemasaran, makmal pengeluaran serta Program Pembangunan Kemahiran Komuniti yang memberi tumpuan kepada komuniti B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal. 

“Selain itu, Kraftangan turut membantu pembangunan produk baharu yang menepati kehendak pasaran serta menyediakan platform promosi melalui program fizikal seperti Festival Kraf dan platform digital seperti MyCraftShoppe, E-Kraf Bazaar dan Craft on the Go.

“Walaupun Kraftangan Malaysia tidak menyalurkan bantuan kewangan secara langsung, usahawan boleh memohon Skim Pembiayaan Usahawan Kraf yang menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 bagi pembelian peralatan dan mesin dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 10 tahun,” katanya.

Tambahnya, MOTAC dan Kraftangan akan memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta untuk menaik taraf pusat-pusat kraftangan menjadi hab yang lebih moden, interaktif dan berdaya saing. 

“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan nilai komersial produk kraftangan tempatan, termasuk batik, memperluas akses pasaran, serta membuka lebih banyak peluang eksport supaya produk kraftangan Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. -BH Online