KUALA LUMPUR: Permohonan Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dibuka mulai hari ini bagi menggalakkan individu dan organisasi melaksanakan projek yang mampu menjadikan ibu negara lebih berdaya huni, inklusif dan rancak.
Program yang dilaksanakan Think City dengan kerjasama Kementerian Kewangan itu menawarkan geran antara RM30,000 hingga RM100,000 bagi setiap permohonan untuk menyokong projek berasaskan tempat di seluruh pusat bandar Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata beliau berharap lebih ramai pihak tampil mengemukakan idea baharu bagi menghidupkan semula ibu negara melalui aktiviti komuniti dan inisiatif kreatif.
“Saya berharap semua pihak yang mempunyai idea baharu tampil memohon. Kita mahu bekerjasama mendapatkan idea-idea baharu untuk menghidupkan Kuala Lumpur. Infrastruktur sedang dibangunkan oleh kerajaan dan sektor swasta, tetapi kita juga mahu mendengar cadangan aktiviti daripada pemegang taruh,” katanya selepas melancarkan program itu, di sini, hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadhlun Mak Ujud dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.
Hannah berkata, program itu diselaraskan sepenuhnya oleh Think City bagi memudahkan proses permohonan tanpa pemohon perlu berurusan dengan pelbagai agensi, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama menilai dan merealisasikan cadangan yang diterima.
Beliau berkata, program itu yang dilaksanakan setiap tahun kini diperuntukkan dana RM1 juta oleh Kementerian Kewangan, namun jumlah itu boleh dinilai semula bergantung kepada keperluan dan kualiti cadangan yang diterima.
Program itu terbuka kepada perniagaan, organisasi kebudayaan dan komuniti, perusahaan sosial, persatuan penduduk dan peniaga, institusi pendidikan, pengendali ruang, penyedia teknologi serta kerjasama rentas sektor yang berkepentingan dalam pembangunan pusat bandar Kuala Lumpur.
Bagi edisi 2026, Think City turut memperkenalkan MAGNET (Museum and Gallery Network) yang memberi tumpuan kepada muzium, galeri, hab dan ruang bebas sebagai rangkaian budaya yang saling melengkapi di pusat bandar Kuala Lumpur.
Sejak 2014, Think City bersama kerajaan, komuniti, perniagaan dan institusi menyalurkan lebih RM65 juta geran bagi menyokong pelbagai inisiatif peremajaan bandar di Kuala Lumpur, termasuk projek Halaman Kampung Attap, Kwai Chai Hong, Laman Tun Perak, Klyne Quarter, Jalan Sang Guna, Bangunan Zhongshan dan kerjasama bersama RexKL.
Sementara itu, Hamdan berkata, pendekatan geran bersasar terbukti menjadi pemangkin kepada usaha peremajaan bandar dengan menggalakkan penyertaan pemain baharu serta membolehkan projek akhirnya berdikari tanpa bergantung kepada pembiayaan geran.
Beliau berkata, permohonan Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dibuka mulai hari ini hingga 21 Ogos depan, manakala projek yang diluluskan akan dilaksanakan antara November 2026 hingga Jun 2027. -BH Online

