JOHOR BAHRU: Sebanyak 94.49 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 telah melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata peratusan itu melibatkan 19,471 pengundi, terdiri daripada 7,960 anggota tentera dan pasangan, 11,511 anggota polis dan pasangan Pasukan Gerakan AM (PGA).
Beliau berkata proses pengundian yang bermula 8 pagi itu melibatkan 62 pusat pengundian awal di seluruh negeri, sebelum ditutup secara berperingkat pada 12 tengah hari hingga 5 petang.
”Sebanyak 29 pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, lima pusat pada 2 petang dan baki 28 pusat lagi ditutup sepenuhnya pada 5 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan petugas kerana berjaya mengendalikan proses pengundian tersebut dengan lancar dan cemerlang.
Beliau berkata SPR juga merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas media serta semua pihak yang memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang proses demokrasi itu berlangsung.
Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum proses penjumlahan rasmi undi dijalankan pada hari pengundian Sabtu ini.
Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. — BERNAMA
