Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Institusi pembiayaan dan bank perlu mempercepat tahap kelulusan pinjaman kepada usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, tahap kecepatan kelulusan perlu dipendekkan berbanding tempoh sedia ada.

“Hal ini sangat jelas, tiada makna kalau kita berikan peruntukan yang besar tapi sukar mendapatkan pinjaman.

“Umpamanya pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional), penyalurannya boleh dipendekkan sehingga lima hari, Bank Rakyat daripada 14 hari kepada enam hari bekerja bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“SME Corp juga diturunkan. SME Bank bagi pembiayaan RM100,000 dan RM1 juta, mesti diluluskan dalam 15 hari bekerja.” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta menyatakan sama ada kerajaan mengetahui bahawa terdapat bank yang menetapkan syarat terlalu tinggi kepada bakal peminjam dan memilih bidang perniagaan dan negara pelaburan.

Pada sesi itu, Anwar turut menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) supaya diwujudkan skim pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk golongan anak muda yang kini banyak tertumpu kepada wanita.

Anwar berkata, AIM tidak di khaskan hanya untuk wanita sebaliknya turut merangkumi peminjam lelaki.

“Bagaimanapun, saya setuju kita tingkatkan pinjaman kepada golongan lelaki yang memerlukan dan keduanya kepada anak muda.

“Dalam beberapa pertemuan di Terengganu, Kedah dan Johor, saya tidak nampak anak muda menggunakan kemudahan pinjaman AIM. 

“Saya akan minta AIM berikan sedikit tumpuan dalam kalangan anak muda. Kadar pinjaman mungkin lebih kecil atau sederhana, tapi cara pengurusan lebih terjamin dari segi pembayaran semula dan pengurusannya lebih cekap,” katanya.-BH Online