KUALA LUMPUR: Penggunaan elektrik oleh pusat data di Semenanjung dijangka melonjak daripada tujuh peratus pada 2026 kepada 31 peratus menjelang 2035.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penggunaan elektrik sektor pusat data dijangka meningkat daripada 10,544 gigawatt-jam (GWh) pada 2026 kepada 73,274 GWh menjelang 2035 berdasarkan unjuran oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif.
Katanya, perkembangan pesat industri kecerdasan buatan (AI) dan pusat data ini menyebabkan peningkatan permintaan puncak sistem pembekalan elektrik negara.
“Permintaan puncak di Semenanjung diunjurkan meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.1 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2035, iaitu melonjak daripada 21.3 GW pada tahun 2026 kepada 33.5 GW menjelang tahun 2035,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta menyatakan tahap kesiapsiagaan bekalan elektrik negara bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada pusat data dan industri kecerdasan buatan.
Fadillah berkata, bagi menjamin keselamatan bekalan elektrik, kerajaan bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) melaksanakan beberapa langkah termasuk melanjutkan operasi loji janakuasa terma sedia ada sebagai penyelesaian jangka pendek.
Katanya, ST turut melaksanakan bidaan terbuka (RFP) bagi menambah kapasiti penjanaan berasaskan gas seterusnya memperkukuhkan beban asas penjanaan di Semenanjung.
“ST turut mengenal pasti dan melanjutkan operasi loji jana kuasa termal sedia ada sebagai langkah penyelesaian jangka pendek
“Turut dijalankan pembangunan Solar Berskala Besar melalui program LSS5 dan LSS5+ yang menyasarkan kapasiti sejumlah 4GW projek TBB ke dalam sistem pembekalan elektrik di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga menggalakkan pusat data untuk menjana tenaga elektrik sendiri berdasarkan keperluan permintaan elektrik masing-masing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada grid.
“Melalui langkah ini, pusat data dapat mengurangkan kebergantungan kepada sistem grid seterusnya memastikan kestabilan sistem grid yang berterusan.
“Pada masa yang sama, kerajaan melalui Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) sentiasa mengamalkan pendekatan saringan yang ketat terhadap permohonan pusat data yang baharu dan juga penambahan kapasiti pusat data sedia ada,” katanya.
Katanya, penyelarasan strategik itu dilaksanakan secara sistematik bagi menyokong pembangunan ekosistem pusat data negara secara lebih mampan, berdaya saing, strategik dan mesra pelabur.
“Kelulusan bagi permohonan pusat data baharu hanya akan diberikan sekiranya sepadan dengan perancangan kapasiti grid setempat, tanpa berkompromi terhadap keselamatan dan keterjaminan bekalan elektrik kepada rakyat,” katanya. -BH Online
