KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber 2026 penting bagi memastikan undang-undang domestik kekal relevan dan efektif dalam memerangi jenayah siber secara tuntas, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata penggubalan RUU berkenaan antara lain memperkukuh dan memastikan kerangka perundangan jenayah siber mapan dan berdaya tahan bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks.
Katanya, RUU itu juga bakal menangani jurang landskap perundangan sedia ada di negara ini bagi menjamin keharmonian undang-undang supaya sentiasa relevan, responsif dan selari evolusi pesat teknologi digital
Beliau berkata, penggubalan RUU yang menekankan prinsip teknologi neutral itu antara lain bakal memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) bagi memastikan negara memenuhi obligasi Konvensyen Budapest serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“RUU ini juga akan melindungi kepentingan awam serta menjamin keselamatan rakyat daripada ancaman siber, selain bakal dikuatkuasakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia antara lain memperkukuh inovasi dalam mekanisme pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan berhubung ancaman jenayah siber,” katanya menerusi bacaan kali kedua RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu memperuntukkan sebarang penyebaran imej intim, membabitkan rakaman visual seperti gambar atau rakaman video, termasuk diubah dan bersifat seksual boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda tidak lebih RM300,000 atau kedua-duanya.
Fasal 24 RUU itu menyatakan, pihak yang menghantar, mengedar, menyiarkan, menjual atau menawarkan jualan atau selainnya imej intim mana-mana orang dengan menggunakan sistem komputer boleh dikenakan hukuman terbabit.
Pelaku kesalahan di bawah subseksyen (1) dengan niat mendatangkan malu, menyebabkan kemudaratan, memaksa atau mengugut individu digambarkan dalam imej intim itu, boleh dipenjarakan maksimum tujuh tahun, denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya.
‘Imej intim’ dalam RUU itu diertikan sebagai rakaman visual, termasuk gambar atau video, yang dibuat dengan apa-apa cara, sama ada diubah atau selainnya, bersifat seksual, yang mana bahagian seksual seseorang terdedah atau orang itu terbabit dalam aktiviti seksual.
Ahmad Zahid berkata, penggubalan RUU itu juga memastikan pelaksanaan undang-undang secara adil, inklusif dan berperikemanusiaan merentasi sempadan supaya tindakan perundangan boleh diambil serta diteruskan terhadap pelaku tanpa mengira kewarganegaraan.
Menteri Kemajuan Desa dan Luar Bandar itu berkata, ia turut memperluas tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk memastikan platform tidak disalahgunakan untuk melakukan apa-apa kesalahan siber.
“RUU ini juga mengiktiraf dan memperuntukkan punca kuasa statutori penubuhan dan tanggungjawab khusus bagi Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber.
“Seterusnya, ia akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan identiti digital negara yang diperkenalkan kerajaan, selaras perkembangan teknologi digital,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. -BH Online
