KUALA LUMPUR: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyasarkan kerjasama lebih erat dengan Itali dan Kesatuan Eropah (EU) bagi memperkukuh pembangunan modal insan, inovasi serta pemindahan teknologi dalam usaha meningkatkan daya saing zon ekonomi khas itu di peringkat global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pembangunan bakat akan menjadi antara teras utama JS-SEZ bagi memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah memberi limpahan manfaat melalui pemindahan teknologi, pengukuhan industri dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi.
Beliau berkata, kerjasama dengan Itali dan negara-negara Eropah amat signifikan, khususnya dalam bidang latihan industri, pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelidikan serta kolaborasi universiti-industri bagi melahirkan tenaga kerja masa depan yang berkemahiran tinggi.
“Kerjasama ini dijangka memperkukuh ekosistem inovasi, mempercepat pemindahan teknologi, meningkatkan standard industri serta menyokong transformasi digital dan amalan kelestarian dalam ekosistem pelaburan JS-SEZ.
“Dalam dunia yang semakin kompleks, kejayaan bergantung kepada kerjasama yang dipercayai serta rangkaian pertumbuhan yang berdaya tahan,” katanya kepada media pada Forum Eksekutif JS-SEZ, di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, kejayaan JS-SEZ tidak akan diukur semata-mata melalui nilai atau jumlah pengumuman pelaburan, sebaliknya berdasarkan pelaksanaan projek, penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Kami kekal komited memastikan JS-SEZ berkembang sebagai platform pelaburan dan inovasi bertaraf global, sambil mengalu-alukan kerjasama lebih erat dengan Itali, komuniti perniagaan Eropah dan pelabur antarabangsa bagi merealisasikan potensi penuh zon ekonomi ini,” katanya.
Beliau berkata, JS-SEZ menggabungkan kelebihan Malaysia dari segi tenaga kerja mahir, ketersediaan tanah dan infrastruktur yang kompetitif dengan kekuatan Singapura dalam aspek kewangan, rangkaian perniagaan global serta ekosistem perkhidmatan bertaraf dunia.
Katanya, gabungan kekuatan itu menawarkan kelebihan strategik kepada pelabur yang ingin memanfaatkan pertumbuhan pesat Asia, terutama syarikat Eropah yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk industri, pembuatan berteknologi tinggi, inovasi serta kejuruteraan.
“Bagi syarikat dari Itali dan seluruh EU, JS-SEZ adalah platform yang amat relevan kerana mereka memiliki kekuatan dalam inovasi, pembangunan produk, reka bentuk industri serta teknologi maju,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, JS-SEZ turut berpotensi muncul sebagai hab utama bagi sektor strategik termasuk semikonduktor dan elektronik, pembuatan maju, teknologi digital, tenaga hijau, logistik, mobiliti pintar serta pembangunan infrastruktur sokongan sejajar perubahan rantaian bekalan global yang semakin pelbagai.
Beliau berkata, perkembangan awal JS-SEZ juga amat memberangsangkan apabila sebanyak 50 projek sudah digerakkan dengan potensi mewujudkan kira-kira 20,000 pekerjaan berkualiti dalam tempoh lima tahun pertama, selain menyasarkan 100 projek dalam tempoh 10 tahun.
Sementara itu, Duta Itali ke Kuala Lumpur, Raffaele Langella, berkata semua sektor berpotensi untuk diterokai di JS-SEZ, termasuk minyak dan gas (O&G), makanan, mikroelektronik serta industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata, Itali memberi penekanan kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu mengintegrasikan syarikat negara itu dalam ekosistem perniagaan dan rantaian nilai global yang lebih luas, berbanding mengejar jumlah pelaburan semata-mata.
“Apa yang kami cari ialah projek berkualiti tinggi. Tumpuan kami bukan sekadar pelaburan secara umum, tetapi pelaburan yang mampu menyokong syarikat Itali untuk berintegrasi dalam ekosistem yang lebih luas,” katanya. -BH Online

