KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 pemandu kenderaan perdagangan atau pemegang lesen PSV E dan GDL E, bakal memperoleh inisiatif di bawah Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) bermula esok.
PSS yang dilaksanakan hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjadi pendekatan menyeluruh dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dari segi pemeriksaan kesihatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata menerusi program itu, laporan pemeriksaan kesihatan pemandu akan dimuat naik secara digital ke dalam sistem sebelum disepadukan dengan sistem MySikap JPJ, sekali gus menghapuskan keperluan penggunaan borang fizikal bagi pembaharuan Lesen Vokasional Pemandu (PSV), Lesen Barang (GDL) dan permit berkaitan.
“Melalui pelaksanaan baharu itu, pemandu hanya perlu menjalani pemeriksaan di klinik panel yang berdaftar, manakala doktor akan mengesahkan keputusan pemeriksaan dan memuat naik laporan terus ke dalam sistem.
“Program ini turut memberi manfaat kepada pemandu apabila kos pemeriksaan kesihatan disubsidikan oleh PERKESO, menjadikan bayaran hanya RM30 seorang berbanding kadar biasa antara RM80 hingga RM100.
“Selain menjimatkan kos, pemeriksaan yang lebih menyeluruh itu dijangka membantu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal sekali gus memastikan pemandu berada dalam keadaan sihat dan selamat ketika berada di jalan raya,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran PSS di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jaya Santhiran Muniayan; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial, Datuk Seri Subahan Kamal.
Loke berkata, program itu boleh dilaksanakan serta-merta menerusi rangkaian klinik panel yang didaftarkan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Setakat ini, sebanyak 500 klinik panel menyertai program berkenaan dengan sasaran ditingkatkan kepada 3,000 klinik di seluruh negara.
“MMA turut memberi jaminan bahawa semua pemeriksaan akan dilaksanakan mengikut piawaian dan kriteria yang ditetapkan bagi memastikan tahap kesihatan pemandu dinilai secara menyeluruh,” katanya.
Bagi fasa pertama, program itu menyasarkan sekurang-kurangnya 30,000 pemandu berusia antara 40 hingga 59 tahun yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
Pelaksanaan program dijadual berlangsung sepanjang enam bulan kedua tahun ini, bermula Julai hingga Disember, dengan peruntukan keseluruhan RM12.4 juta, termasuk RM7 juta disediakan PERKESO dan RM5.4 juta daripada Kementerian Kewangan.
Keberkesanan Program Pemandu Sihat dan Selamat akan dinilai pada penghujung tahun ini sebelum kerajaan mempertimbangkan penambahan peruntukan serta peluasan pelaksanaannya kepada lebih ramai pemandu pada tahun hadapan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan. -BH Online
