Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan sokongan terhadap pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli bukan hanya bermula selepas kejayaannya mencipta sejarah di Grand Prix (GP) Republik Czech, sebaliknya sudah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2021 menerusi ekosistem pembangunan bakat sukan permotoran negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, persepsi yang tular di media sosial kononnya KBS hanya mula membantu Hakim selepas muncul juara Moto3 adalah tidak tepat kerana pelumba berusia 18 tahun itu sudah melalui laluan pembangunan yang dirancang sejak awal.

“Terlebih dahulu saya ingin menjernihkan salah faham yang berlegar dalam media sosial yang menggambarkan seolah-olah sokongan KBS kepada Hakim hanya bermula selepas kejayaan beliau mencipta sejarah di Grand Prix Republik Czech.

“Persepsi tersebut tidak benar kerana pembangunan beliau telah disokong secara berperingkat sejak tahun 2021 melalui laluan pembangunan bakat sukan permotoran seperti Asia Talent Cup, European Talent Cup, Red Bull Rookies Cup, JuniorGP sehinggalah ke Kejuaraan Dunia Moto3,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh 2021 hingga 2025, kos pembangunan bakat Hakim menerusi program Impian ke MotoGP mencecah RM8.93 juta, membabitkan latihan, pendedahan dan penyertaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, kerajaan meneruskan komitmen terhadap pembangunan sukan permotoran dua roda dengan memperuntukkan RM1.8 juta, merangkumi RM800,000 menerusi Geran Padanan Sukan dan RM1 juta melalui Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Selain itu, katanya, SIC turut menyediakan dana awal berjumlah RM453,808 melalui dana dalaman termasuk penggunaan MotoGP Rebate bagi memastikan penyertaan Hakim dalam Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026 dapat diteruskan.

Taufiq berkata, komitmen KBS tidak hanya tertumpu kepada Hakim, sebaliknya turut membabitkan beberapa lagi pelumba muda berpotensi seperti Qabil Irfan Azlan, Qayyim Razin Razali, Sharf Muhriz serta bakat baharu lain yang sedang dibangunkan sebagai pelapis negara. -BH Online