PENAMPANG: Geran khas interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu pemuktamadan kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri ini sebagaimana hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu, hari ini, menegaskan Kerajaan Persekutuan kekal komited melaksanakan tuntutan berkenaan, sekali gus membuktikan pentadbiran pimpinannya tidak pernah berniat menafikan hak Sabah.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi mekanisme terbaik untuk memastikan tuntutan terbabit dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berlandaskan peruntukan perundangan.
Beliau berkata, hak 40 peratus hasil Sabah itu tidak boleh dinafikan kerana ia termaktub dalam perjanjian yang dimeterai pada 1963.
“Kita sedaya upaya melaksanakan janji kita. Saya mahu rakyat Sabah tahu bahawa memang harus diberi perhatian mengenai (tuntutan) 40 peratus ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Justeru, Anwar memaklumkan bahawa kaedah pelaksanaan tuntutan itu sedang dibincang secara teliti untuk dimuktamadkan, berikutan setiap keputusan akan mempunyai implikasinya.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil kira peruntukan bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, namun alasan berkait kedudukan kewangan tidak boleh lagi diguna untuk menangguhkan pelaksanaan hak berkenaan.
“Saya sudah beritahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa kita tidak boleh beri alasan itu lagi. Kita kena cari jalan.
“Sebab itu, saya minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan berbincang secara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mencari formula terbaik bagi melaksanakan janji ini,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, geran khas interim kepada Sabah telah dinaikkan secara berperingkat sejak beliau menerajui pentadbiran negara.
Beliau berkata, ia bermula daripada RM300 juta kepada RM600 juta dan terbaru Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkannya lagi kepada RM1.5 bilion sementara rundingan serta penelitian lanjut mengenai formula pelaksanaan tuntutan hak 40 peratus itu dimuktamadkan.
“Saya tidak mahu dianggap sengaja melengah-lengahkan perkara ini. Saya tekankan sekali lagi soal 40 peratus ini.
“Sama ada keputusan akhir nanti dibuat pada Jun atau Disember depan, itu akan diputuskan oleh jawatankuasa berkaitan dan dibawa kepada kerajaan negeri serta rundingan antara Persekutuan dengan Sabah.
“Saya lafazkan di Parlimen bahawa kerajaan MADANI tetap akan melaksanakan janji 40 peratus untuk Sabah. Saya tidak mahu dikenali sebagai orang yang tidak menunaikan janji atau mengkhianati amanah,” katanya.-BH Online
