KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan memberi tempoh 30 hari kepada pasukan petugas khas bebas untuk melengkapkan siasatan berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, semalam.
Menterinya, Anthony Loke, berkata siasatan itu perlu meneliti secara menyeluruh mengenai punca kejadian termasuk sistem penguncian, operasi pusat kawalan, sistem isyarat, kakitangan yang bertugas ketika kejadian dan aspek pengendalian tren.
Katanya, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menjalankan siasatan secara bebas memandangkan kejadian itu disifatkan sebagai insiden serius walaupun tidak membabitkan sebarang kecederaan.
“Biasanya gangguan perkhidmatan akan disiasat secara dalaman oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), namun kes seumpama ini memerlukan siasatan bebas bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan didedahkan kepada umum.
“Kita tidak mahu siasatan hanya bergantung kepada laporan dalaman kerana ia perlu dilakukan secara telus, menyeluruh dan bebas.
“Laporan ini juga akan diberikan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan susulan dan dihebahkan kepada umum, manakala pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula akan buka kertas siasatan terhadap kes ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke lokasi kemalangan berdekatan Stesen Chan Sow Lin, di sini, hari ini.
Semalam, tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berdekatan Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan.
Ketika kejadian, terdapat 25 penumpang dan mereka selamat dipindahkan dengan tiada kecederaan dilaporkan.
Mengulas mengenai pasukan petugas khas yang ditubuhkan itu, Loke berkata, ia akan diketuai Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan, Brig Jen Tan Chee Kee dan mendapat kepakaran daripada pakar kejuruteraan rel.
Sementara itu, Loke berkata, hasil siasatan bebas itu perlu digunakan untuk memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan keselamatan dalam kalangan pengendali pengangkutan awam.
Katanya, kerja penyelenggaraan landasan sememangnya dilaksanakan setiap malam selepas waktu operasi menerusi tempoh khas kejuruteraan, namun keberkesanan penyelenggaraan terhadap komponen yang terbabit dalam insiden itu perlu diteliti secara mendalam.
“Kita perlu memastikan semua sistem rel di bawah kendalian Prasarana berada pada tahap keselamatan terbaik kerana lebih sejuta penumpang menggunakan perkhidmatan rel di Lembah Klang setiap hari.
“Sistem rel adalah nadi pengangkutan awam negara dan aspek kebolehpercayaan serta keselamatannya mesti sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai siasatan awal insiden berkenaan, Loke berkata, ia dipercayai berlaku apabila sistem kotak suis gagal berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, gerabak pertama dilaporkan berada di laluan yang betul menghala ke Putra Heights, namun gerabak seterusnya memasuki landasan ke arah Ampang menyebabkan berlaku pergerakan pada dua hala berbeza.
Katanya, keadaan itu menyebabkan daya tarikan dari bahagian belakang menarik keluar gerabak pertama, seterusnya tergelincir daripada landasan.
Loke berkata, kejadian tren tergelincir dari landasan mempunyai risiko keselamatan yang tinggi dan berpotensi mengundang bencana besar jika berlaku pada kelajuan lebih tinggi atau ketika membawa jumlah penumpang yang ramai.
“Kita bersyukur kerana insiden berlaku ketika tren sedang melalui proses pertukaran landasan dan bergerak pada kelajuan rendah, sekali gus mengelak kecederaan penumpang.
“Bagaimanapun, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh berulang pada masa depan,” katanya.-BH Online
