Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap wartawan dan pengamal media terus menjadi suara rakyat, pengimbang kuasa dan nurani negara.

Perdana Menteri yang merakamkan penghargaan sempena Hari Wartawan Nasional berkata, media memikul amanah besar dalam menegakkan kebenaran.

“Hari ini kita memperingati Hari Wartawan Nasional, satu penghargaan kepada wartawan dan pengamal media yang selama ini menjadi suara rakyat serta antara tiang penting dalam memperkukuh demokrasi negara.

“Peranan media bukan sekadar menyampaikan berita tetapi memikul amanah besar untuk menegakkan kebenaran dengan integriti, kredibiliti, keberanian dan rasa tanggungjawab,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Perdana Menteri berkata, pelaporan yang bertanggungjawab amat penting supaya fakta yang disampaikan adalah tepat dan beretika.

“Dalam era lambakan maklumat dan penyebaran berita tanpa sempadan, pelaporan yang bertanggungjawab amat penting bagi memastikan fakta disampaikan secara tepat, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Moga wartawan dan pengamal media terus menjadi suara rakyat, pengimbang kuasa dan nurani negara,” katanya.-BH Online