KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara Islam perlu memupuk semangat perpaduan dalam usaha menghentikan keganasan dan permusuhan tiada berpenghujung di Asia Barat.
Perdana Menteri turut menggesa politik dunia dipandu aspek kebijaksanaan dan kewarasan, bukannya dipengaruhi sentimen melampau, terutama ketika konflik antarabangsa semakin meruncing kini.
Beliau menekankan bahawa ketegangan geopolitik meliputi konflik di Gaza, selatan Lubnan dan Iran, bukan hanya mengorbankan nyawa tetapi juga menjejaskan kestabilan ekonomi global serta memberi tempias kepada negara lain, termasuk di rantau ini.
“Suasana ini sekali lagi kesannya sampai ke rantau kita. Negara yang mencatat ekonomi baik dan keadaan aman tetapi terjejas sedikit sebanyak lantaran kesan ekonomi tidak menentu.
“Saya aneh dengan masyarakat antarabangsa. Kalau kita mahu berharap Eropah, Amerika Syarikat (AS) untuk meletak semangat demokrasi (dan) keadilan, saya ingat ia sudah pupus sama sekali.
“Sebab yang nyata apabila rakyat Gaza dan selatan Lubnan dizalimi, hampir tidak beri kesan… betapa maruah di dunia ini yang berisik (riuh).
“Jadi, sebab itulah saya selalu katakan ini ciri kemunafikan, hipokrasi dunia Barat yang boleh mengizinkan (kezaliman berlaku),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus mempertahankan prinsip kebebasan serta lantang menyuarakan hak golongan tertindas, termasuk rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kekejaman di Gaza.
Beliau berkata, ini kerana pendekatan politik berasaskan emosi dan sentimen sempit, tidak membantu menyelesaikan krisis dunia.
“Sebab itu, politik kita jangan terbawa-bawa dengan sentimen. Harus tenang, ada kebijaksanaan, tumpu membela nasib rakyat… bukannya untuk menggila seperti yang berlaku di negara Barat.
“Bagi Malaysia, kita masih mempertahankan prinsip kebebasan serta menyatakan hak sama ada bagi umat Islam yang tertindas atau manusia lain, dan suara kita akan terus tegas serta lantang,” katanya.-BH Online
