Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Harga runcit tanpa subsidi bagi petrol RON95, serta RON97 dan diesel di Semenanjung turun antara 10 hingga 20 sen seliter, manakala harga RON95 bersubsidi bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal RM1.99 seliter bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun.

Kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) menyebut, penurunan harga runcit itu menjadikan RON95 tanpa subsidi kini pada harga RM3.92 seliter (turun 15 sen) dan RON97 tanpa subsidi RM4.65 seliter (turun 20 sen), manakala harga runcit diesel tanpa subsidi juga turun 10 sen kepada RM4.87 seliter.

“Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, sementara harga runcit bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing kekal RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

“Selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, penurunan itu tidak menandakan tekanan pasaran petroleum global telah reda kerana ketidaktentuan pasaran susulan konflik bekalan tenaga yang berlarutan lebih 12 minggu masih berterusan.

Harga minyak mentah Brent mutakhir ini kekal melepasi AS$100 setong, iaitu lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$60 hingga AS$70 setong.

MOF berkata, lebih 90 peratus daripada jumlah liter RON95 yang digunakan di negara ini adalah pengguna yang menerima subsidi.

Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM784.

“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95. Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.

“Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” katanya.-Berita RTM