KUALA LUMPUR: Enam inovasi cip semikonduktor tempatan mempunyai potensi jualan gabungan kira-kira RM300 juta, sekali gus mencerminkan peluang komersial teknologi cip buatan Malaysia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, inovasi itu membuktikan keupayaan Malaysia membangunkan teknologi sendiri untuk pasaran global.
“Kita bukan sahaja perlu melihat berapa banyak cip yang melalui Malaysia, tetapi juga berapa banyak yang direka di sini, berapa banyak harta intelek dibangunkan dan dimiliki di sini, serta berapa banyak nilai yang kekal dalam ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Inovasi Semikonduktor Generasi Baharu Malaysia: Enam Cip Hasil Inovasi Tempatan sempena Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor 2026, di sini, pada Jumaat.
Enam inovasi itu merangkumi pemproses kecerdasan buatan (AI) bagi peranti di pinggir rangkaian oleh SkyeChip; penyelesaian storan AI oleh MaiStorage; cip FPGA tempatan oleh SiliconX; pengawal kuasa elektronik automotif oleh Infinecs; cip pengawal kuasa bagi satelit oleh Weeroc Space serta pengawal penerbangan dron autonomi oleh Alphaswift.
Akmal Nasrullah berkata, tumpuan seterusnya adalah memastikan inovasi berkenaan mendapat penerimaan pelanggan, memenuhi piawaian industri dan berjaya dikomersialkan.
Jelasnya, usaha itu penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. -Astro Awani
