Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah terkumpul kenderaan penumpang (PV) jenis kenderaan elektrik bateri (BEV) sejak 2018 hingga kini telah mencecah 94,165 unit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata EV bukan lagi sekadar trend global tetapi juga sudah menjadi satu keperluan strategik yang berkait rapat dengan aspek pelaburan, daya saing industri, keselamatan tenaga dan kesejahteraan rakyat.

“Hari ini (semalam), mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) Bilangan 1/2026 di Menara MITI. Mesyuarat ini bagi memperkukuhkan pembangunan ekosistem EV negara.

“Malaysia telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam penggunaan EV, khususnya bagi kategori BEV,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan diharapkan dapat mengenal pasti penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi, yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memperkukuh pembangunan industri serta ekosistem EV negara secara lebih progresif, terselaras dan berdaya saing.-BH Online