SUBANG: Malaysia menggesa Myanmar melanjutkan tempoh gencatan senjata yang dijadual berakhir 30 Julai ini sebagai usaha meredakan konflik dan keganasan di negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia turut berharap gencatan senjata itu dapat diperluas dan diteruskan bagi menghentikan permusuhan terhadap rakyat Myanmar sendiri.
“Saya minta supaya gencatan senjata sedia ada yang akan berakhir pada 30 Julai dipanjangkan lagi, diteruskan lagi sekurang-kurangnya enam bulan.
“Kalau boleh, biarlah berterusan dan apa yang boleh saya katakan mereka tidak menolak dan itu satu perkara yang positif,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu disuarakan dalam lawatan kerja sehari ke Naypyidaw, Myanmar hari ini, termasuk pertemuan bersama Menteri Luar Negeri Myanmar, Tin Maung Swe, bagi menilai perkembangan semasa negara berkenaan.
Tambah Mohamad, Malaysia turut menasihatkan kerajaan Myanmar untuk menghentikan keganasan dan kekejaman terhadap rakyat Myanmar sendiri.
Katanya, perkara itu juga menjadi antara asas dalam Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui ASEAN sebelum ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Myanmar kini menunjukkan perubahan pendekatan yang lebih terbuka berbanding sebelum ini, termasuk kesediaan untuk berbincang dengan pihak yang bertentangan.
“Kalau dulu bercakap tentang pihak di sebelah sana (mereka) langsung tidak boleh dengar, tetapi sekarang mereka menyatakan kesediaan untuk berbincang dan melihat supaya kesemua puak duduk bersama,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia bersedia membantu mempertemukan pihak yang bertentangan dengan kerajaan Myanmar, namun pendekatan itu perlu dilakukan secara berhati-hati.
“Kita tidak mahu Malaysia dilihat memberikan tekanan kepada mereka.
“Tapi kalau diusahakan dengan baik, saya yakin dengan sikap terbaharu kerajaan Myanmar ini, kita boleh bergerak ke tahap yang lebih positif lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan hasil penilaian dan libat urus akan dikemukakan kepada Kabinet bagi merumuskan pendirian baharu ASEAN terhadap Myanmar.
Beliau berkata, perkara itu susulan mandat dipersetujui semasa pemukiman Menteri Luar ASEAN di Filipina baru-baru ini yang menugaskan menteri-menteri luar ASEAN mengadakan penilaian dan pertemuan dengan rakan sejawat masing-masing di Myanmar.-BH Online
